Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir: Dapatkan bantuan pihak berkuasa pindah ke PPS

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Berikut ringkasan berita banjir yang melanda Pantai Timur:

Pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk seorang penduduk di Kampung Lenjang di sini yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tengah malam semalam meskipun rumahnya berisiko dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata apabila dipujuk wanita berusia 30an yang mempunyai empat orang anak itu memberikan pelbagai alasan untuk tidak berpindah.

“Kami juga terpaksa ‘mengumpan’ anak-anaknya untuk merasai pengalaman menaiki lori bomba supaya mereka turut bersetuju berpindah ke PPS,” katanya kepada pemberita di rumah wanita tersebut di Kampung Lenjang di sini.

Tinjauan pemberita yang turut berada di lokasi tersebut mendapati ibu muda itu akhirnya bersetuju untuk berpindah pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

Sementara itu di Permaisuri, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berumur setahun berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda yang dinaiki tergelincir dan hampir terjunam ke dalam sungai ketika melalui sebuah jambatan di Kampung Sri Bayas, di Kuala Berang malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Zull Azman Jamaludin berkata kejadian itu menyebabkan kesemua mangsa terperangkap di dalam kenderaan kerana kedua-dua tayar di bahagian depan dan belakang sebelah kanan telah melepasi jambatan.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.25 malam dan ketika tiba di lokasi didapati kedua-dua tayar sebelah kanan pacuan empat roda itu telah terkeluar dari jambatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Setiu oleh pasukan bomba.

Jalan kaki ke PPS dedah situasi bahaya

Di Pasir Mas, Kelantan, JBPM Kelantan meminta supaya orang ramai yang hendak berpindah ke PPS supaya menasihati supaya penduduk di kawasan berisiko banjir memberikan kerjasama dengan mendapatkan bantuan pihak terlibat dalam operasi penyelamatan bagi mengelak berlaku sebarang perkara tidak diingini seperti kenderaan tersekat di tengah jalan dan kes hanyut.

"Lebih bagus sekiranya penduduk dapat berikan maklumat awal kepada pihak berkuasa seperti JBPM, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM)… sebagai contoh maklumkan kalau ada ahli keluarga merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) atau mengalami sakit kritikal, maka kita akan bantu pindah lebih awal," kata Penolong Pengarah Operasi JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari.

Beliau menganggarkan 80 peratus daripada mangsa banjir bertindak berpindah sendiri ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kebanyakannya menaiki bot persendirian, namun ada juga segelintir yang berjalan kaki ke PPS yang berdekatan dari kediaman mereka.

Beliau berkata tindakan sedemikian sebenarnya mendedahkan mangsa dengan situasi bahaya kerana mereka tidak mengetahui keadaan sebenar arus air ketika mengharungi banjir.

"Hal ini sebenarnya bahaya. Kita takut sekiranya mereka (mangsa) tidak mendapat maklumat lanjut berkaitan dari mana berlakunya limpahan air ketika banjir dan ini boleh mengakibatkan terjadinya perkara tidak diingini," katanya ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, malam tadi.

Di Pasir Mas juga, seorang peniaga gerai makan di pekan Rantau Panjang, tetap meneruskan perniagaan roti canainya, meskipun gerainya dimasuki air sedalam kira-kira 0.2 meter sejak awal pagi semalam, kerana baginya perkara itu ‘sudah biasa’ bagi penduduk sekitar sini.

Mohd Fadli Mat Zain, 45, berkata suasana berniaga ketika banjir menjadi pengalaman pertama kepada beliau serta isterinya memandangkan baru sebulan menjalankan perniagaan di pekan itu.

"Mahu tidak mahu ini punca pendapatan saya berniaga roti canai dan masakan panas," katanya ketika ditemui di kedainya di Pasir Mas, hari ini.

Mohd Fadli berkata dengan meneruskan perniagaannya, beliau mendapat rezeki tambahan apabila ramai yang mengunjungi gerainya berikutan orang dari luar Rantau Panjang datang ke kawasan berkenaan kerana ingin melihat keadaan banjir.

"Walaupun berniaga dalam suasana banjir, namun beliau masih lagi mengambil berat Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19-19. Penduduk di sini sudah terbiasa dengan suasana banjir seumpama ini setiap tahun," katanya yang mendapat hasil jaualan RM200 sehingga RM300 sehari berbanding hari biasa RM100 sehingga RM200 sehari.

Di Kuala Berang, Ketua Polis Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud mengingatkan penduduk tempatan supaya tidak menjadikan banjir di daerah itu sebagai ‘pesta bermain air’, bagi mengelak sebarang kejadian yang tidan diingini.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan pihaknya di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir, didapati terdapat ramai penduduk terutama kanak-kanak yang bermain air tanpa menghiraukan keselamatan masing-masing.

“Ada yang kita tengok kanak-kanak bermain air tanpa pengawasan orang dewasa... Jadi dalam hal ini ibu bapa perlu bertanggungjawab memastikan keselamatan anak-anak mereka,” katanya kepada pemberita.

Roti canai banjir

Di Kampung Seberang Tayor, Kemaman, tindakan peniaga roti canai Mohd Khairul Anuar Hamzah, 29, memuat naik rakaman beliau menebar roti canai di kawasan gerainya yang digenangi air di Facebook menjadi tular, hingga ramai yang menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan, dan ada yang meninggalkan pesanan “Ini baru betul roti canai banjir!”.

“Pada malam sebelum kejadian saya memang telah menguli hampir 10 kilogram (kg) tepung dan sepatutnya berniaga seperti biasa. Tidak sangka apabila pada pukul 5.00 pagi, semalam air mulai naik tetapi masa itu masih belum sampai paras lutut.

“Saya fikir dah alang-alang tepung dah siap, saya teruskan juga meniaga, bila hujan makin lama, air dah mula melimpah ke dalam kedai… pelanggan yang menunggu pun bertambah ramai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau bersyukur semua rotinya habis terjual dalam tempoh empat jam selepas warungnya dibuka pada pukul 7.00 pagi, bukan sahaj ramai yang tetap datang, malah ada yang menelefon untuk membuat tempahan.

- Bernama