Skip to main
Logo Malaysiakini

Mengamuk tunang minta putus, lelaki tetak ibu tunang hingga maut

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lelaki dilaporkan menetak warga emas yang juga merupakan ibu kepada tunangnya sehingga maut, setelah kecewa ikatan pertunangannya diminta untuk diputuskan.

Menurut laporan Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira jam sembilan malam tadi itu, mangsa, Habibah Abungon, 68, maut di tempat kejadian manakala empat lagi cedera - termasuk tunang suspek - setelah suspek dikatakan mengamuk dan menyerang keluarga tunangnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, polis menerima laporan kejadian daripada lelaki berusia 19 tahun yang merupakan sepupu kepada tunang suspek.

"Punca kejadian dipercayai suspek yang berusia 29 tahun marah terhadap tunangnya yang juga salah seorang mangsa yang dikatakan ingin memutuskan pertunangan.

"Suspek yang datang ke lokasi kejadian mengajak tunangnya balik ke kampungnya di Paitan namun enggan mengikutnya menyebabkan suspek bertindak agresif dan mengamuk," katanya seperti dipetik.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kampung Kuyuh di Pitas, Sabah.

Mohd Izaan berkata, suspek sedang dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk kesalahan bunuh.

Mangsa yang cedera dilaporkan seorang lelaki berusia 65 tahun, dan tiga lagi perempuan berusia antara 28 hingga 30 tahun.