Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis selamatkan 35 warga asing disyaki dikurung, tak diberi gaji

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis berjaya menyelamatkan 35 perempuan warga asing di Melaka dan Selangor yang disyaki dikurung dan tidak dibayar gaji oleh majikan masing-masing.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Huzir Mohamed, ia menerusi lima serbuan dengan kerjasama Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) dan JSJ Melaka Tengah pada 12 Nov lalu.

Bagi serbuan di Melaka Tengah, mangsa adalah 32 warga Indonesia dan dua warga Kemboja berusia antara 18 hingg 40 tahun, manakala dua lagi mangsa warga Indonesia diselamatkan ketika serbuan di Petaling Jaya, Selangor.

Menurut Huzir, mangsa mengaku bekerja dengan sebuah agensi perkhidmatan pembersihan sebagai tukang cuci dari rumah ke rumah di sekitar Melaka, sejak 2018 sehingga kini.

“Gaji yang ditawarkan berjumlah antara RM900 hingga RM1200 sebulan.

“Walaubagaimanapun, kesemua mangsa didapati tidak mendapat gaji seperti yang dijanjikan, malah telah dikurung di dalam rumah dan pergerakan mereka turut dikawal serta tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit.

“Kesemua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di rumah perlindungan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, ketika serbuan polis turut berjaya menangkap tiga perempuan tempatan berumur antara 33 hingga 42 tahun yang dipercayai majikan bagi membantu siasatan, dan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an yang dipercayai bersubahat.

Katanya, timbalan pendakwa raya telah bersetuju untuk mendakwa mereka di mahkamah.

Tiga perempuan itu akan didakwa dengan 35 pertuduhan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, katanya.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan denda.

Lelaki itu pula akan didakwa di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007 yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan, kata Huzir.

Katanya lagi, sebanyak 70 pertuduhan akan dihadapkan dan keempat-empat suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka Tengah esok (21 Dis).