Hubungan PKR, DAP S'wak: Makin bertengkar, makin mencintai - Chong
WAWANCARA | Pakatan Harapan (PH) satu ketika yakin mampu menawan Sarawak, walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 72 kerusi daripada jumlah keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) 2016.
Bagaimanapun, momentum politik itu terjejas dengan Langkah Sheraton, rampasan kuasa politik pada Februari yang menyebabkan keruntuhan kerajaan PH.
Dipercayai GPS akan dapat mengekalkan kuasa dengan mudah dan bahkan mungkin merebut kembali kerusi yang dikuasai pembangkang pada pilihan raya negeri akan datang.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen menjelaskan bagaimana pembangkang akan menghadapi segala kemungkinan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Ogos tahun depan.
PH bercita-cita muncul sebagai pembangkang yang lebih kuat untuk memainkan peranan yang lebih berkesan dalam kerajaan negeri. Ia merancang bekerjasama dengan pihak lain yang berfikiran dan mempunyai matlamat yang sama, kata Chong.
Dia berkata PH Sarawak telah memulakan rundingan dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang diketuai oleh Adun Bawang Assan Wong Soon Koh. Rundingan tersebut bertujuan menyelesaikan pertindihan pertandingan kerusi DUN.
Penting ada pembangkang kuat
"Matlamat kami adalah untuk memperkuat pembangkang dalam peranannya sebagai semak dan imbang dengan kerajaan negeri. Penting bagi kita untuk mempunyai pembangkang yang lebih kuat sekarang daripada sebelumnya, berikutan peningkatan hasil sumber negeri.
"Pendapatan Sarawak telah meningkat kepada RM10 bilion, berbanding RM4 bilion pada 10 tahun yang lalu, oleh itu mekanisme semak dan imbang yang baik perlu ada," katanya.
Katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang diketuai pembangkang akan dapat menyiasat dengan berkesan jika ada perjanjian sangsi oleh agensi dan syarikat kerajaan.
Chong berkata dia yakin pembangkang dapat memainkan peranan yang lebih baik di Sarawak selepas 22 bulan pengalaman mentadbir Putrajaya.
Chong juga tidak menolak kemungkinan PH dan PSB mampu membuat kejutan di PRN Sarawak.
"Sekiranya parti pembangkang dapat memberikan hasil yang baik dan melepasi ambang 42 kerusi (dengan majoriti mudah), maka kita akan berkuasa," katanya.
"Tidak mungkin satu parti memerintah negeri ini," tambahnya.
Chong, yang juga pengerusi DAP Sarawak, berharap partinya - yang bertanding 31 kerusi pada PRN lalu sedia menyerahkan beberapa kerusi kepada rakan-rakannya kali ini terutamanya kerusi di kawasan pedesaaan dan pedalaman.
"Saya lupa berapa kali kami mengadakan perbincangan. Kami membincang secara rasmi dan tidak rasmi. Kami bercakap di meja kopi, melalui Zoom dan melalui telefon.
"Kami berbincang mengenai pembahagian kerusi, model kerjasama. Kami bahkan berbincang bagaimana kami masih boleh bekerjasama antara satu sama lain sekiranya kami gagal menyelesaikannya (pertembungan kerusi)," katanya.
"Kami akan menyelesaikannya tidak lama lagi. Walaupun, kami dapat menyelesaikannya pada malam sebelum hari penamaan calon untuk pilihan raya negeri, ia masih bagus," katanya.
Menurut Chong, PH dan PSB bergabung atas beberapa sebab, termasuk pindaan perlembagaan negeri, yang berusaha memperketat definisi "pemastautin di negeri ini" dan menurunkan usia di mana seseorang dapat bertanding dalam pilihan raya negeri dari 21 hingga 18 tahun.
Pindaan itu adalah untuk memastikan bahawa hanya orang Sarawak yang layak bertanding dalam pilihan raya negeri. Ini menentukan dua kategori orang yang akan memenuhi syarat sebagai "penduduk di negeri ini", yang pertama adalah warganegara yang dilahirkan di negeri Sarawak yang ibu bapanya, atau salah seorang daripada mereka, juga dilahirkan di negeri ini dan dia adalah biasanya seorang penduduk di negeri ini.
Syarat kedua adalah warganegara. Hal ini walaupun seseorang itu tidak dilahirkan di Sarawak, tetapi ibu bapa atau salah seorang daripada mereka dilahirkan di negeri ini dan dia biasanya adalah penduduk di negeri ini.
PH dan PSB sama-sama menentang definisi "pemastautin di negeri ini" kerana kekaburan dalam pindaan tersebut.
Tetapi PKR Sarawak mendapati dirinya berhadapan masalah untuk menerima PSB, yang mengambil ahli parlimen PKR yang keluar partinya dan secara terbuka mengumumkan bahawa dia akan bertanding kerusi yang dimenangi oleh anggota parlimen ini dengan tiket PKR.
Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dan Adun Batu Lintang See Chee How menyertai PSB pada hujung Mei lalu.
PKR, yang memenangi tiga kerusi DUN pada 2016, kini tidak mempunyai wakil rakyat di peringkat DUN susulan kesemua Adunnya keluar dari parti itu.
Pada bulan Julai, Pengerusi PKR Sarawak Larry Sng mengecam DAP kerana didakwa "secara peribadi" menyerahkan lima hingga enam kerusi, termasuk Bawang Assan, kepada PSB dan mengancam akan bertanding di Bawang Assan.
Sng berkata PKR tidak akan menghormati "perjanjian sampingan".
Bawang Assan, kerusi majoriti Cina 54 peratus di Sibu, dipegang oleh Presiden PSB Wong Soon Koh sejak penubuhannya pada tahun 1991.
Sng, ketika wawancara dengan Malaysiakini empat bulan yang lalu, berkata dia mengharapkan partinya bertanding 44 kerusi DUN sementara DAP dan Amanah masing-masing mengambil 26 kerusi dan 12 kerusi, dan tiada kerusi kepada PSB.
Sementara itu, Chong juga berkata bahawa PH telah bersetuju dengan sekutunya bahawa mereka tidak akan menentang satu sama lain di kerusi yang sama untuk mengelakkan pertembungan PKR-DAP di enam kerusi pada pilihan raya 2016.
Melihat semula kejadian itu, Chong mengakui bahawa ini adalah antara faktor yang menyebabkan kekalahan pembangkang.
PKR dan DAP kehilangan enam kerusi yang mereka tandingi satu sama lain pada pilihan raya negeri 2016 setelah rundingan terhenti. Kerusi itu adalah Batu Kitang, Ngemah, Mulu, Murum, Mambong dan Simanggang.
Kemudian, bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah memberi kuasa kepada Baru Bian (bekas ketua PKR Sarawak) untuk mengeluarkan surat kebenaran kepada calonnya untuk bertanding di lima kerusi.
Ini mengakibatkan DAP bertindak balas dengan bertanding di Batu Kitang.
Bagaimanapun, Chong pada masa itu melihat pertembungan PKR-DAP sebagai "persaingan sihat" yang membolehkan kedua-dua pihak mengukur sokongan mereka melalui peti undi.
"Bagi enam kerusi yang bertindih, tiga kerusi di mana kami memperoleh undi lebih tinggi diberikan kepada kami. PKR mendapat baki tiga kerana mereka memperoleh undi lebih tinggi," katanya.
"Sekurang-kurangnya kami mempunyai pengalaman berdiri menentang satu sama lain. Kami telah mengalaminya. Kami tidak lagi dapat menuntut secara lisan bahawa kami mempunyai lebih banyak sokongan di kerusi-kerusi tersebut," katanya.
"Hubungan antara PKR dan DAP? Semakin kami saling bertengkar, semakin kami saling mencintai," kata Chong.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai