Skip to main
Logo Malaysiakini

'PKPB, saringan tempat kerja memadai kawal penularan di Lembah Klang'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) memadai dalam menghadapi peningkatan penularan Covid-19 di Lembah Klang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika sekatan yang lebih ketat perlu diperlukan susulan peningkatan kes di Klang, dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Setakat tengah hari ini, Klang merekodkan 4,164 kes secara keseluruhan, menjadikannya sebagai daerah dengan kes tertinggi di seluruh negara.

Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil pendekatan proaktif menerusi PKPB sejak dua bulan lalu.

Dia berkata langkah itu telah menurunkan kadar kebolehjangkitan (R0) di Lembah Klang kepada 0.97.

"Tindakan kita adalah secara proaktif iaitu menjalankan PKPB sejak 14 Oktober. Ketika itu banyak pihak yang meragui kenapa kita melakukannya," katanya.

Tanpa langkah itu, katanya, penularan dianggarkan mungkin melibatkan "empat juta penduduk" selain kadar kebolehjangkitan meningkat kepada 2.2

Terdahulu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Zainal Ariffin Omar menggesa langkah lebih ketat diadakan jika tidak mahu penularan di Klang menjadi seperti di Sabah beberapa bulan lalu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula menggesa pihak berkuasa lebih telus dalam mengendalikan maklumat kes penularan Covid-19 di daerah itu.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata PKPB telah menjadikan penularan di Sabah, Sarawak dan Kedah dalam keadaan terkawal.

Selain sekatan pergerakan, dia berkata KKM juga akan menggiatkan lagi ujian saringan di tempat kerja.

"Tumpuan kita adalah pekerja asing dan saringan di kilang dan tapak pembinaan.

"Kita akan pertingkatkan lagi saringan...Usaha kita akan berterusan dan mungkin dalam tempoh sebulan dua, kita akan dapat lihat kesannya," katanya lagi.

Sebelum ini, sejumlah kluster dikaitkan dengan pekerja beberapa syarikat seperti Top Glove, Kossan dan Hartalega.

[Baca berita asal]