Skip to main
Logo Malaysiakini

Badan peguam gesa tubuh badan bebas semak kes kematian dalam tahanan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Badan Peguam Malaysia meminta organisasi bebas dari luar ditubuhkan untuk menyiasat semua kematian dalam tahanan, selepas mahkamah koroner baru-baru ini mendapati kecuaian polis menjadi penyebab kematian Thanabalan Subramaniam pada 2018.

Menurut Presidennya, Salim Bashir, undang-undang menetapkan adalah menjaditanggungjawab pegawai pusat tahanan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan individu yang berada dalam tahanan.

“Badan Peguam Malaysia memuji keputusan koroner tetapi juga meminta supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menubuhkan unit perubatan di pusat tahanan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia juga menggesa pihak berkuasa penahanan untuk memastikan rawatan perubatan disediakan untuk semua suspek, dan memastikan mereka mendapat akses kepada kebersihan dan kemudahan asas.

Dia merujuk kepada kes Thanabalan, 38, pada 17 April 2018 yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di lokap Shah Alam.

Menurut laporan media ketika itu, dia didapati tidak sedarkan diri pada tarikh tersebut, selepas demam selama empat hari berturut-turut, sakit perut, cirit-birit dan kehilangan selera makan.

Dia dibawa ke Hospital Shah Alam setelah didapati tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

Semalam, Free Malaysia Today melaporkan koroner Shah Alam, Rofiah Mohamad mendapati kecuaian polis menjadi penyebab kematian Thanabalan.

Laporan itu memetik peguam M Visvanathan mengatakan bahawa Rofiah telah mendapati bahawa siasatan forensik mengesahkan Thanabalan mempunyai ‘myocardial bridging’ di jantungnya yang tidak akan menyebabkan kematian terhadap seseorang berlaku dengan sendirinya.

Bagaimanapun, Thanabalan juga mengalami leptospirosis akibat terkena air kencing tikus, yang menyebabkan kesihatannya lebih terjejas kerana keadaan jantungnya.

“Polis tahu dia (Thanabalan) tidak sihat, (tetapi) enggan hantar dia ke hospital selama dua hari,” kata Visvanathan dipetik sebagai berkata.