Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman pekebun durian Raub

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menolak dua permohonan semakan kehakiman oleh sekumpulan pekebun durian di Raub berhubung notis pengosongan tanah oleh kerajaan Pahang.

Peguam Siew Choon Jern, yang mewakili pekebun berkenaan berkata, mahkamah tinggi menolak permohonan itu pagi ini atas alasan pekebun berkenaan tidak memiliki lokus standi untuk mengemukakan cabaran mereka.

"Mahkamah berpendapat bahawa petani-petani ini merupakan penceroboh terhadap tanah-tanah tersebut, oleh itu tidak mempunyai locus standi ataupun pendirian undang-undang untuk membuat cabaran," katanya.

Sementara itu, Adun Tras dari DAP, Chow Yu Hui mendakwa pekebun berkenaan kecewa dengan keputusan mahkamah hari ini.

Bagaimanapun, katanya mereka akan terus berjuang untuk membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.

Dua permohonan semakan kehakiman tersebut dikemukakan secara berasingan oleh seramai 200 pekebun durian di Raub pada Ogos dan Oktober tahun ini.

Sebelum ini hak sewa tanah dan penggunaan tanah seluas 5,357 ekar (sekitar 2168 hektar) diberikan oleh kerajaan negeri Pahang kepada RPDR-PKPP pada bulan Jun 2020.

Kerajaan negeri mengeluarkan notis untuk mengambil tanah berkenaan secara rasmi pada 24 Ogos.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak terlibat dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif memaklumkan keputusan tersebut kepada media selepas prosiding tamat.

Siew berkata mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun terlibat tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

"Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh (di tanah berkenaan). Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman ini," katanya.

Siew berkata mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara.

Ditanya jika plaintif akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah atau membuat rayuan kepada pentadbir tanah yang mengeluarkan notis pengosongan itu, Siew berkata pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pekebun terlibat.

"Kita akan berbincang apakah tindakan yang efisien dan lebih baik supaya penyelesaian terbaik dapat diambil supaya kepentingan pekebun tidak terjejas. Rayuan adalah satu cadangan yang akan dibincangkan.

"Bagaimanapun, saya berpendapat memandangkan kami sudah sampai ke tahap ini, jika kami membuat rayuan, ia adalah terhadap keputusan mahkamah hari ini berbanding merayu terhadap notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965," katanya.

Pekebun itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang telah ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos lepas manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 Sept dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Pada prosiding itu, semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.