Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwah perlu senada dalam isu vaksin - Zulkifli

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad menyeru semua pendakwah agar senada dengan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan mengenai hukum penggunaan vaksin Covid-19.

Zulkifli berkata, ini kerana ketetapan tersebut telah diperhalusi dari sudut pandangan Islam.

“Alangkah baiknya kalau kita semua termasuk pendakwah selebriti senada dengan badan-badan yang amat berautoriti, yang telah buat kajian demi kajian cukup teliti dan cukup mendalam.

“Sebab pandangan itu, bukan pandangan saya, ini pandangan para ulama, badan berautoriti, bukan semata-mata di Malaysia tetapi rujukan saya kepada ummah seluruhnya, Al Azhar, di negara Arab, tokoh ulama semuanya bersetuju dengan kaedah itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Tausyiah YB Menteri bersama pendakwah selebriti di Sepang, hari ini.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Dis lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Zulkifli dalam kenyataannya berkata ketetapan itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

Terdahulu ketika menyampaikan ucapan, Zulkifli berkata, pendakwah perlu mengelakkan mengutarakan pendirian yang berbeza khususnya berkaitan vaksin Covid-19.

“Cuma dalam mendepani isu Covid-19, ada satu sahaja permintaan khusus saya buat sahabat-sahabat, marilah bersatu fikrah.

“Elakkan berkhilaf sesama kita. Saya amat menghormati keilmuan sahabat-sahabat. Namun kita ada maslahah yang lebih besar iaitu melindungi rakyat daripada wabak ini,” tambahnya.

Kata Zulkifli lagi institusi fatwa dan pihak berkuasa perlulah dihormati.

Ujarnya, segala pandangan sebaiknya disuarakan mengikut saluran yang betul.

“Hormatilah institusi fatwa dan autoriti agama negeri sedia ada. Jika ada syor dan cadangan yang baik, kemukakan secara berhemah tapi bukan dalam ceramah atau di media sosial. Moga harmoni semuanya,” ujarnya.