Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Kartel daging: Kerajaan diseru telus, bertanggungjawab

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya memandang berat berita yang tular baru-baru ini mengenai kewujudan ‘kartel’ yang menjadi dalang penyeludupan daging tidak halal ke Malaysia dengan label ‘daging halal’.

Daging tidak halal itu bukan sahaja dikatakan melibatkan daging lembu tetapi dicampur dengan daging kanggaru dan kuda.

Dakwaan kewujudan sindiket keji ini telah mencemarkan nama baik industri halal di Malaysia.

Usaha banyak pihak untuk memastikan sektor halal dalam negara diangkat dengan integriti dan cemerlang telah tercalar akibat perbuatan buruk ini.

Bukan mudah bagi peniaga dan pengusaha daging mendapatkan status pensijilan halal, tetapi ada pihak memilih jalan belakang meletakkan keraguan kepada status halal daging di pasaran, walhal umat Islam dituntut untuk menjaga status halal makanan.

Lebih jelik lagi, sindiket ini dilaporkan oleh pendedahan akhbar New Straits Times (NST) mungkin telah berleluasa selama 40 tahun atas sokongan daripada pegawai-pegawai kerajaan yang ‘dibeli’.

Sudahlah inti perbuatannya buruk, malah dilatari dengan perbuatan durjana makan suap.

Meskipun Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan angka 40 tahun tersebut, namun tidak mustahil ia telah berlarutan dalam tempoh yang lama kerana dilaporkan melibatkan ramai orang dalam dan aduan berkenaannya pernah dibuat.

Tambah buruk apabila penyeludupan ini berlaku di banyak negeri seperti Kelantan, Sarawak dan Johor seperti yang disahkan oleh Bukit Aman.

Operasi dan serbuan dilaksanakan oleh pihak berkuasa di Taman Perindustrian Senai baru-baru ini mendapati sebuah gudang digunakan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula.

Seolah-olah ini adalah satu perbuatan yang dirancang malah dibantu oleh tangan ghaib penguasa.

Selaku ahli parlimen bagi kawasan dalam Johor, saya menyeru agar kerajaan negeri lebih tangkas bagi mengelakkan keadaan tambah kronik.

Pernah dilaporkan pada kastam

Saya dimaklumkan, aduan berkenaan kegiatan ini pernah dilaporkan kepada pihak kastam Johor sebelum isu ini tular namun tiada tindakan diambil.

Sementara siasatan terperinci dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya menggesa tindakan berikut diambil sekiranya belum dilakukan:

1. Usaha sepadu khususnya oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Lembaga Pelabuhan Johor (serta negeri lain) wajar dilakukan segera untuk membanteras penyeludupan.

Usaha ini meliputi meninjau kelemahan prosedur, sistem import eksport, kelonggaran pintu masuk serta integriti pegawai yang terlibat.

2. Mengesan daging beku yang dikenal pasti secara dokumentasi telah diedarkan serta mengambil tindakan sewajarnya sama ada merampas atau menyita demi pengguna.

Walaupun saya dimaklumkan terdapat pemeriksaan dilakukan ke atas premis borong dan peruncit, namun saya percaya laporan berkenaannya perlu telus.

Siasatan dan tindakan segera mesti dilaksanakan agar hak pengguna terjamin.

3. Selesaikan segera bidang kuasa agensi yang terlibat supaya tidak timbul konflik kelewatan atau birokrasi.

Memandangkan banyak pihak yang terlibat seperti Kastam, Maqis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan lain-lain maka saya khuatir terdapat pertindihan perundangan dan bidang kuasa sehingga menjejaskan tindakan membanteras dan menjaga kepentingan rakyat, khususnya yang beragama Islam.

Akhirnya, seperti saranan ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, saya menyeru semua kementerian dan agensi terlibat untuk tampil ke hadapan dan berani menggalas tanggungjawab untuk bersemuka dengan rakyat dalam isu ini dengan segera.

Entah berapa besar kerugian dan ketirisan kepada pendapatan rakyat dan negara akibat skandal ini.

Sekiranya dakwaan ini benar maka ia wajib dibongkar dan dibanteras habis-habisan.

Rakyat wajar dimaklumkan tentang mereka yang bersekongkol dalam jenayah penyeludupan dan komplot kartel termasuk pemegang Permit Import (AP) serta perasuah wajib dibawa ke muka pengadilan, tidak kira pangkat atau kedudukan.


SYED IBRAHIM SYED NOH adalah ahli parlimen Ledang dan pengerusi PKR Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.