Skip to main
Logo Malaysiakini

Saringan pekerja asing: Majikan tak patuh arahan akan didakwa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majikan yang gagal mematuhi arahan agar memastikan pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19 akan didakwa di mahkamah bermula tahun hadapan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk menguatkuasakan arahan itu bermula 1 Januari 2021.

Ini selepas Kementerian Sumber Manusia mendapati masih terdapat ramai majikan enggan mematuhi arahan tersebut.

"Sehingga kini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan seramai 49,248 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 1,990 majikan.

"Walaubagaimanapun, KSM memaklumkan masih terdapat ramai majikan yang enggan memberi kerjasama untuk mematuhi arahan ini.

"Sehubungan itu, sidang khas semalam bersetuju untuk menguatkuasakan arahan ini bermula 1 Januari 2021 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) di mana majikan yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang dan penalti," katanya dalam sidang media hari ini.

Kerajaan pada mulanya hanya mewajibkan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan mereka yang bekerja sebagai anggota keselamatan menjalani ujian Covid-19.

Bagaimanapun berikutan lonjakan kluster Covid-19 melibatkan pekerja asing, pelaksanaan ujian Covid-19 diperluas kepada pekerja asing dari semua sektor.

Terdapat seramai 1.7 juta pekerja asing bekerja di negara ini pada masa ini.

Fasa pertama ujian saringan Covid-19 dilakukan di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Labuan dan Negeri Sembilan mulai 1 Dis lalu.