Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Hari Natal di Pulau Pinang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia antara negara yang unik daripada segi kerencaman budaya, kepercayaan dan pegangan agama.

Esok, 25 Disember penganut agama Kristian bakal meraikan perayaan Hari Krismas sebagai memperingati kelahiran Jesus yang membawa erti kebenaran dan rahmat.

Selang beberapa hari, sambutan Tahun Baru 2021 pula bakal membuka tirainya, meninggalkan tahun 2020 dengan pelbagai coretan serta kenangan suka dan duka.

Dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih belum nampak pengakhirannya, tahun 2021 pasti akan memberikan kepelbagaian cabaran baharu.

Meskipun jauh dari sudut hati, kita masih meletakkan sedikit harapan bagi melihat sesuatu yang meyakinkan, bukan sahaja berkaitan penawar virus Covid-19, tetapi merangkumi kestabilan politik dan pelaburan lebih kukuh untuk negeri Pulau Pinang.

Dalam menghadapi impak pandemik Covid-19, selain pelaksanaan program-program kebajikan sebagaimana sedekad lalu, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM155.5 juta di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bagi membantu golongan terkesan termasuklah para usahawan industri kecil dan sederhana (SMI), perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta pemain-pemain industri sektor pelancongan yang merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi negeri.

Walaupun telah memasuki fasa pemulihan, namun peperangan menentang Covid-19 masih belum berakhir.

Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap usaha Kerajaan Malaysia melalui penyertaannya dalam Covid-19 Vaccine Global Access (Covax) serta rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal dan jalinan kerjasama strategik dapat memastikan Malaysia mendapat bekalan vaksin yang mencukupi dengan kadar segera demi kesejahteraan serta kesihatan rakyat dan seterusnya membantu merancakkan semula ekonomi negara.

Prestasi pelaburan dan pembangunan modal insan

Di Pulau Pinang, kita juga menerima tempias dan menanggung perit yang sama.

Namun, dengan rekod prestasi Pulau Pinang yang lebih kukuh daripada segi dasar dan fasiliti pelaburan, kerajaan negeri yakin bahawa Pulau Pinang akan terus berpotensi menjadi destinasi pilihan para pelabur berkualiti serta bernilai tinggi.

Sebagai rekod, dalam tempoh antara Januari hingga September 2020, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM10.6 bilion, dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) RM8.8 bilion atau 83 peratus, meletakkan Pulau Pinang sebagai penyumbang FDI kedua tertinggi dalam negara, manakala RM1.8 bilion atau 17 peratus adalah melalui pelaburan langsung domestik (DDI).

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang berjaya mencatatkan 108 projek melalui sektor pembuatan dari Januari hingga September 2020 yang dianggar akan mewujudkan 9,137 peluang pekerjaan baru.

Hal ini sedikit sebanyak memberi khabar gembira terutama kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga akan memberi fokus terhadap agenda untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam meningkatkan kebolehpasaran rakyat di negeri ini selari dengan hasrat Visi Penang 2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Berpaksikan fokus berkaitan, kerajaan negeri memperkenalkan bantuan pembiayaan pembelajaran melalui pemberian biasiswa, Penang Future Foundation (PFF).

Sejak 2015, PFF telah membiayai 585 pelajar berkelayakan untuk mengikuti pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik, perakaunan dan kewangan membabitkan jumlah peruntukan RM32.8 juta.

Pada masa sama, seramai 11,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini turut menerima manfaat daripada program Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Pulau Pinang sejak 2008 melibatkan perbelanjaan sebanyak RM23.39 juta.

Keterhubungan

Aspek pengangkutan turut menjadi salah satu aspek yang menjadi keutamaan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kerajaan negeri sentiasa komited dalam merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) terutamanya skim projek pengangkutan awam transit aliran ringan (LRT) jajaran Komtar - Bayan Lepas meskipun menyedari bahawa terdapat kekangan yang harus dihadapi iaitu aspek pembiayaan kewangan.

Bagi perkhidmatan feri yang merupakan ikon negeri Pulau Pinang sejak 126 tahun, saya percaya bahawa seluruh rakyat Pulau Pinang meminta agar perkhidmatannya dikekalkan.

Justeru, mewakili seluruh rakyat Pulau Mutiara, pendekatan wajar perlu diambil tanpa mengetepikan nilai-nilai warisan sedia ada ke arah mencapai pemantapan pembangunan menyeluruh.

Negeri hijau

Dalam merealisasikan Visi Penang 2030 untuk menjadi negeri hijau, kerajaan negeri berjaya mewartakan seluas 285.84 hektar Pulau Jerejak sebagai Hutan Simpanan Kekal.

Pewartaan ini sekali gus telah meningkatkan keluasan Hutan Simpanan Kekal di Negeri Pulau Pinang sebanyak 5.5 peratus iaitu daripada 5,100.93 hektar pada Disember 2019 kepada 5,386.77 hektar pada tahun 2020.

Usaha ini bukan sahaja menjamin kehijauan dan kelangsungan oxygen bar di negeri ini malah dapat menjamin penyerapan karbon di Pulau Pinang.

Kerajaan negeri juga tidak pernah membelakangi keperluan pengurusan sumber aslinya demi kesejahteraan rakyatnya.

Sebagai contoh pada tahun 2004, Pulau Pinang merupakan negeri yang terawal mewartakan 3,565 hektar atau 70 peratus kawasan Hutan Simpanan Kekal sebagai kawasan tadahan air di bawah Enakmen Pembekalan Air Negeri 1998.

Baru-baru ini, kerajaan negeri telah meluluskan pewartaan keseluruhan 3,790.54 hektar hutan simpanan kekal di negeri ini iaitu tambahan sebanyak lima peratus daripada sedia ada.

Selain itu, khazanah hutannya kekal terus terpelihara yang mana Pulau Pinang merupakan antara negeri yang tidak mengamalkan kaedah pembalakan kawasan Hutan Simpanan kekalnya sejak tahun 1972.

Menyentuh mengenai kawasan tadahan air Ulu Muda yang begitu penting peranannya, kerajaan negeri berpegang kepada jaminan tidak akan ada penerokaan di lokasi berkaitan demi kepentingan bekalan sumber air mentah bagi keperluan 4.2 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang secara keseluruhan, malah amat mengalu-alukan usaha Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan.

Tiada yang dipinggirkan, sebagai negeri berkebajikan, selain menyediakan pelbagai peruntukan kepada rumah-rumah ibadat utama, kerajaan negeri turut memberikan bantuan kepada gereja-gereja melalui Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2016 sehingga tahun ini, sebanyak RM6,775,484.44 telah diperuntukan melalui Tabung Amanah Ribi untuk tujuan pemulihan dan menaik taraf rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Sempena sambutan Hari Krismas tahun ini, marilah sama-sama kita terus kekalkan keamanan dan saling meraikan segala persamaan serta perbezaan yang wujud dan berusaha memperteguhkan nilai-nilai sejagat antara satu sama lain.

Sama-sama juga kita gunakan peluang serta kesempatan ini memperbaharui azam dan tekad untuk merancakkan kembali sektor-sektor utama negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Moga kehadiran tahun baru 2021 membawa lebih banyak kejayaan, kemajuan serta kemakmuran kepada kita semua.

Selamat menyambut hari krismas dan selamat tahun baru 2021.


CHOW KON YEOW adalah ketua menteri Pulau Pinang sejak 2018.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.