Skip to main
Logo Malaysiakini

Remaja 15 tahun antara korban Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang remaja perempuan warganegara Malaysia berumur 15 tahun dilaporkan meninggal dunia di Sabah akibat Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata remaja itu meninggal dunia di Hospital Lahad Datu namun tiada perincian diberikan mengenai latar belakang kesihatan mangsa berkenaan.

"Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 446 kes (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Mangsa kedua pula merupakan lelaki rakyat Malaysia berusia 61 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan dilaporkan menghidapi penyakit darah tinggi, dislipidemia, dan strok.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak empat kluster baru Covid-19 dikesan hari ini di dua negeri iaitu Selangor dan Kuala Lumpur yang melibatkan tiga tempat kerja.

Kluster terbabit ialah Kluster Sungai Burong, dan tiga kluster melibatkan tempat kerja iaitu Kluster Kebun Baru, Kluster Tapak Bina Jalan Tun dan Kluster Jalan Pandan.

Kluster Sungai Burong melibatkan Daerah Kuala Selangor dan kes indeks bagi kluster ini merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif Covid-19 pada 19 Dis lepas.

"Sehingga 24 Dis, sejumlah 167 individu telah disaring dan 28 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," kata beliau.

Kluster Kebun Baru pula melibatkan Daerah Kuala Langat dan kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula 24 Dis melalui saringan bersasar di sebuah kilang.

Dilaporkan sehingga 24 Dis, sejumlah 580 individu telah disaring, dan 95 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Jalan Tun melibatkan Daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 24 Dis melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

"Sehingga 24 Dis, sejumlah 177 individu telah disaring, dan 26 kes telah dikesan positif Covid-19," katanya.

Sementara itu, kluster terakhir iaitu Kluster Jalan Pandan pula melibatkan Daerah Lembah Pantai, Cheras, Kepong, dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Daerah Gombak, Petaling, Kuala Selangor dan Hulu Langat di Selangor.

Dilaporkan kes indeks bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 pada 14 Dis melalui saringan individu bergejala dan sehingga 24 Dis, sejumlah 165 individu telah disaring, dengan 30 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.