Lima beranak tinggal dalam kereta 7 bulan lepas rumah terbakar
‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ - Itu ungkapan sesuai buat kehidupan seorang pengawal keselamatan, isteri dan tiga anak kecil mereka, apabila terpaksa menjalani kehidupan seharian hanya di dalam kereta.
S Ganesh, 34, berkata beliau terpaksa mendiami dan memberi teduhan kepada isteri dan anak-anaknya hanya dalam sebuah kereta berusia kira-kira 20 tahun itu, selepas rumah mereka di Lebuh Carnarvon di George Town musnah dalam kebakaran pada awal April lalu.
“Selepas kejadian itu kami tiada lagi tempat tinggal, hanya tinggal dalam kereta ini yang merupakan tempat berteduh buat saya, isteri S, Parameswary, 32, serta tiga anak G. Girthikanesh (enam tahun), G Devi Shri (tiga), dan bayi G Kirthana yang berusia lapan bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Polo di George Town hari ini.
Ganesh berkata setiap hari beliau akan membawa kereta Proton Iswara terpakai tersebut dengan anak dan isteri mencari tempat redup untuk berhenti dan berteduh sementara di sesuatu lokasi di sekitar George Town dan menggunakan tandas-tandas awam untuk mandi dan sebagainya.
“Bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji bulanan RM1,200 amat memeritkan. Makan minum apa yang mampu sahaja seperti mi segera, biskut, nasi dan lauk telur, ikut pada kecukupan perbelanjaan,” katanya yang amat menaruh harapan memperoleh sebuah rumah untuk diduduki bersama keluarga tercinta.
Ganesh berkata beliau telah memohon untuk memiliki rumah dari kerajaan negeri sejak lapan bulan lalu, dan kini masih menanti jawapan dan berharap permohonannya dapat segera dipertimbangkan.
Isterinya, Parameswary yang baru bersalin lapan bulan lepas berkata, beliau terpaksa menjalani kehidupan berpantang dengan anak ketiganya di dalam kereta tersebut, kerana tiada tempat tinggal.
Wanita itu berkata beliau hanya mengharapkan pendapatan suami yang bergaji kecil dan bayinya hanya minum susu badan bercampur susu botol.
“Adakala bila suami tiada wang, anak hanya minum susu dan campur dengan kopi kosong. Setiap hari saya akan masak mi segera sahaja, jika ada wang lebih kami makan nasi bersama telur goreng,” katanya.
Terdahulu keluarga malang itu menerima kunjungan Persatuan Hindu Pulau Pinang, yang turut dihadiri Presidennya, P Murugiah.
Murugiah berkata beliau baru mengetahui mengenai kehidupan menyedihkan keluarga Ganesh empat hari lepas, dan akan berusaha memberikan bantuan termasuk membuat rayuan kepada kerajaan negeri untuk membolehkan keluarga tersebut menyewa di Unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), mendapat bantuan makanan dan sebagainya.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menghubungi Ganesh di talian 011-36779438 atau Persatuan Hindu Pulau Pinang di 012-4072846
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai