Skip to main
Logo Malaysiakini

'PNB perlu perluas pelaburan di ekuiti antarabangsa'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff mencadangkan agar Permodalan Nasional Berhad (PNB) meluaskan portfolio bagi pelaburan ekuiti antarabangsa.

Meskipun pelaburan demikian akan mencetuskan risiko lebih tinggi, Ahmed Razman berkata ia dapat meningkatkan dividen dan pulangan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun depan.

Jelasnya lagi, dia juga melihat pola pelaburan PNB majoritinya tempatan dan justeru itu syarikat terbabit sukar mencatat pulangan yang tinggi.

“Kalau ikutkan setiap pulangan dari ekuiti antarabangsa sentiasa tinggi, sekitar lebih 9 peratus pulangan. Sebab sasaran pulangan tinggi, jadi kita pun akan dapat keuntungan.

“Risiko memang ada, tetapi untuk mendapatkan pulangan dividen tinggi, cara dia memang kena melabur dalam ekuiti antarabangsa sahaja dan kalau hanya melabur untuk tempatan, pulangan dalam empat ke limas peratus sahaja,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Pengerusi PNB Dr Zeti Aziz sebelum ini mengumumkan agihan pendapatan bagi ASB berjumlah 4.25sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Ia merangkumi pengagihan pendapatan 3.50 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit membabitkan pembayaran RM7.65 bilion kepada 10.2 juta pelabur.

Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Selain itu Dr Zeti turut mengumumkan pembayaran khas ihsan 0.75 sen untuk 30,000 unit pertama sempena ulang tahun ASB ke-30 tahun.

Agihan pembayaran dividen tahun ini adalah yang terendah sejak ASB diperkenalkan pada 1990.

Pada 19 Nov lalu, Zeti berkata, PNB akan terus meningkatkan portfolio pelaburan di pasaran luar negara bagi menawarkan peluang yang menyeluruh kepada pemegang unit amanahnya.

Tambahnya, PNB akan terus meninjau peluang pelaburan luar negara dan meningkatkannya secara berkala berdasarkan kepada unjuran ekonomi serta cabaran semasa terutamanya ketika ini.

Mengulas berhubung dividen ASB yang disifatkan terendah dalam sejarah, Ahmed Razman bagaimanapun berkata, pulangan pada tahun ini memadai ekoran kegawatan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

“Kalau kita lihat memang terendah tetapi dengan keadaan sekarang, dividen dan pulangan bonus itu memada kerana kalau lihat secara purata 10 tahun, pulangan ASB mencecah 7.56 peratus. Jadi ada peningkatan.

“Saya memang menjangkakan ia akan rendah pada tahun ini dan melihat kepada tahun lepas juga kita mendapat pulangan yang boleh dikatakan rendah,” tambahnya.

Dividen ASB dijangka meningkat tahun 2021

Senada dengan Ahmed Razman, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai juga berkata pulangan ASB pada tahun ini sudah dianggap bagus memandangkan situasi ketika ini.

“Dalam tempoh ini memanglah agak susah untuk kerajaan memberi pulangan tinggi dan saya rasa pulangan hampir lima peratus ini cukup bagus berdasarkan sumber pendapatan pasaran saham dan modal,” tambahnya.

Bagaimanapun, kata Barjoyai, dia menggangarkan bahawa pulangan ASB pada tahun hadapan akan meningkat.

“Meskipun ia terendah namun saya anggarkan pada tahun 2021, ekonomi akan pulih dan kemungkinan pelaburan juga semakin meningkat. Maka nilai dividen ASB juga akan meningkat.

“Ini kerana kebanyakan sektor-sektor pekerjaan juga sudah mula membangun dan ekonomi kian pulih selepas terjejas teruk ketika bermulanya pandemik ini,” katanya lagi.

Jalil Rasheed

Pelaburan antarabangsa tidak semestinya lebih berisiko

Sementara itu, bekas ketua pegawai eksekutif PNB Jalil Rasheed mengatakan bahawa pelaburan luar negara tidak semestinya lebih berisiko daripada pelaburan tempatan.

"Pelaburan antarabangsa tidak bermaksud lebih berisiko. Ekuiti domestik boleh menjadi lebih berisiko jika anda melabur atau memasukkan modal dengan salah.

"Risiko bukan mengenai seberapa dekat atau jauhnya rumah anda. Ini mengenai apa yang salah dengan pelaburan individu," katanya.

Jalil mengatakan ukuran dana PNB telah mencapai tahap di mana pelaburan dalam negeri saja tidak memberi nila komersial, dan oleh itu mesti ada kepelbagaian secara geografi dan melalui kelas aset.

"Justeru, kerangka kerja dan pengurusan risiko yang tepat adalah kunci untuk memastikan anda tidak tersasar," katanya di Twitter.