Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bagaimana pupuk perpaduan melalui pendidikan?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peribahasa popular Afrika ada menyebut: “Seluruh desa diperlukan untuk mendidik seorang anak.”

Peribahasa ini bermaksud seluruh anggota komuniti bertanggungjawab mendidik kanak-kanak agar membesar dengan selamat, sihat dan harmoni.

Secara umumnya, pendidikan boleh dibahagikan kepada kategori pendidikan formal dan pendidikan tidak formal.

Pendidikan formal berlaku di sekolah dan institusi pendidikan manakala pendidikan tidak formal berlaku melalui penglibatan ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Perpaduan negara pula adalah salah satu daripada lima aspirasi sistem pendidikan Malaysia.

Aspirasi ini menekankan kepada sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian.

Dalam usaha untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar, sukatan pelajaran boleh diperkenalkan dengan topik-topik bertemakan perpaduan yang menyentuh hubungan etnik dan agama dalam konteks masyarakat majmuk.

Ini tepat dengan objektif khusus pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memberi penekanan untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid.

Topik-topik perpaduan boleh diserapkan dalam mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah), kurikulum Pendidikan Agama Islam bagi murid Islam dan kurikulum Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam akan diperkukuhkan supaya merangkumi pemahaman tentang nilai-nilai perpaduan, hubungan baik sesama insan serta dikaitkan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Selain pendekatan dalam bilik darjah, penerapan nilai perpaduan boleh diperkukuh melalui aktiviti kokurikulum melibatkan aktiviti persatuan dan pakaian beruniform seperti pengakap, Pandu Puteri, bersesuaian dengan Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) yang disediakan Kementerian Pendidikan.

Malahan, pendekatan melalui aktiviti luar bilik darjah berkonsepkan experiential learning dan menekankan amali dipercayai lebih berkesan berbanding pembelajaran di dalam bilik darjah.

Oleh itu, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan dengan melibatkan pelajar pelbagai kaum dari sekolah sama atau sekolah berbeza berdasarkan demografi di sesuatu tempat atau daerah.

Dalam hal ini, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak pengurusan sekolah harus memainkan peranan agar aktiviti sedemikian dapat dijalankan.

Pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) juga perlu dilibatkan agar inisiatif yang dilaksanakan bersepadu dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Malahan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh bekerjasama berdasarkan sumber, kemahiran dan kemampuan masing-masing.

Sebagai contoh, kem muhibah yang melibatkan aktiviti perkongsian budaya dan interaksi antara pelajar-pelajar di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil boleh dilaksanakan di peringkat daerah atau negeri.

Pendidikan bukan formal pula berperanan memupuk perpaduan nasional melalui interaksi dan aktiviti antara komuniti, pertandingan sukan berbilang kaum dan keterlibatan dalam kerja-kerja sukarela melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Penglibatan komuniti juga boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama melalui pendekatan pelbagai kaum seperti dialog dan sesi perbincangan merangkumi isu-isu sensitif melibatkan hubungan antara kaum dan agama.

Dengan itu, usaha-usaha untuk memupuk perpaduan nasional dapat dilaksanakan melalui pendidikan formal dan bukan formal dengan baik dan harmoni.

Melalui usaha-usaha mendidik sebegini, semangat kerjasama antara kaum dapat dibina dalam kalangan generasi muda dari awal lagi.

Pendedahan awal melalui pendidikan yang inklusif dan kolaboratif sangat penting untuk membangunkan negara tercinta yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Justeru, usaha-usaha pendidikan akan dapat membina jati diri generasi masa depan yang menghargai dan menguatkan kepelbagaian tersebut demi kepentingan agama, bangsa dan negara.


BADLISHAH SHAM BAHARIN dan MOHAMMAD ABDUL HAMID masing-masing adalah adalah timbalan presiden dan perunding polisi awam, Pertubuhan Ikram Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.