Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar: Heret dalang kartel daging ke muka pengadilan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan pendedahan berhubung kartel daging yang didakwa turut didalangi kakitangan agensi kerajaan sebagai "kebobrokan" yang perlu dihentikan.

"Saya juga mendesak kerajaan dan kementerian untuk segera menjalankan siasatan rapi, cekap, dan telus serta mengheret dalang ke muka pengadilan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata ini menunjukkan kakitangan kerajaan berkenaan "mudah dibeli" sekaligus mengabaikan tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat.

"Ini ternyata satu kegiatan yang tidak bermoral tatkala kita harus pertingkatkan segala usaha dan upaya kita dalam memerangi rasuah dan kebobrokan.

"Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam.

"Meski dikurniakan peruntukan yang bukan kecil hampir setiap tahun, namun skandal ini telah merosakkan kepercayaan umum kepada institusi tersebut," katanya lagi.

Setelah dibangkitkan di Parlimen awal bulan lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan kes kartel import daging haram yang dikatakan berlaku di Senai, Johor baru-baru ini, sedang dalam proses siasatan.

New Straits Times pada 21 dan 22 Disember melaporkan bahawa kartel itu dikatakan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.

Antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.