Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kenapa Sumatera 'tercicir' di Selat Melaka?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Kenapa pembangunan pulau Sumatera jauh ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia?

Selat Melaka merupakan antara selat yang tersibuk di dunia membentuk jalur pelayaran terusan antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Selat Melaka menghubungkan tiga negara dengan jumlah penduduk terbesar di dunia iaitu India, Indonesia dan China.

Kira-kira 50,000 kapal kargo dan kapal minyak melalui Selat Melaka dari barat ke Timur setiap tahun. Justeru itu Selat Melaka sangat penting kepada kestabilan ekonomi dunia khususnya kepada negara Amerika Syarikat, Jepun, China dan juga kepada negara-negara lain di Asia Tenggara.

Hampir satu perlima perdagangan dunia terpaksa melalui Selat Melaka. Ini menunjukkan bahawa penting nya terusan ini dalam aspek ekonomi dan perdagangan kepada banyak negara di dunia terutama kepada Malaysia dan Indonesia.

Pelabuhan antarabangsa merupakan antara elemen penting dalam pembangunan sesebuah bandar atau kawasan di dunia. Lihat saja bagaimana pelabuhan di Singapura menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Singapura pada hari ini juga pelabuhan Shanghai yang memberi sumbangan kepada pembangunan bandar Shanghai di China pada hari ini.

Jika kita lihat pembangunan di pulau Sumatera dan Semenanjung Malaysia, kita perlu bersetuju bahawa pembangunan di pulau Sumatera masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia.

Kita juga perlu bersetuju bahawa salah satu faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah kerana faktor ketiadaan pelabuhan-pelabuhan antarabangsa dengan segala kemudahan modern dan berteknologi tinggi seperti mana yang dimiliki oleh banyak pelabuhan antarabangsa di perairan Malaysia di Selat Melaka.

Pelabuhan-pelabuhan Sumatera di perairan Selat Melaka juga kurang diberi perhatian oleh pemerintah Indonesia dan tidak dibangunkan dan dimajukan oleh pemerintah Indonesia seperti mana pemerintah Indonesia membangunkan pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta.

Pembangunan pelabuhan-pelabuhan Indonesia di perairan Selat Melaka di pulau Sumatera diumpamakan bagai langit dan bumi dengan pelabuhan-pelabuhan antarabangsa Malaysia di perairan Selat Melaka terutama di bahagian Barat Semenanjung Malaysia.

Walaupun agak berat untuk ditelan akan tetapi begitulah hakikat sebenarnya. Banyak pelabuhan-pelabuhan Malaysia di perairan Selat Melaka merupakan antara pelabuhan terpenting di dunia seperti Port Klang, pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor dan Penang port yang dilengkapi dengan fasiliti modern dan berteknologi tinggi.

Justeru apa sebenarnya yang menyebabkan berlakunya jurang pembangunan yang besar di antara pulau Sumatera dan Semenanjung Malaysia?

Faktor sejarah

Pada tahun 1786 British menubuhkan pelabuhan George Town di Pulau Pinang di pantai barat laut Semenanjung Malaysia. Ia kemudian diperluas menjadi pelabuhan transshipment utama untuk Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Great Britain berkembang menjadi kuasa dominan di Selat Melaka, dengan Melaka, Pulau Pinang (George Town) dan Singapura sebagai pos perdagangan terpenting. Tidak seperti Melaka, Singapura iaitu sebuah pulau di hujung selatan Selat Melaka pada era tersebut masih agak tidak signifikan dari segi ekonomi pada awal abad kesembilan belas.

Kawasan ini didiami oleh keluarga nelayan Tanah Melayu. Pada tahun 1819, hanya beberapa tahun sebelum Perjanjian Anglo-Belanda tahun 1824, Syarikat Hindia Timur Inggeris telah mendirikan pos perdagangan pertamanya di sana.

Pengembangannya secara besar-besaran menjadi pelabuhan perdagangan utama akhirnya bermula pada tahun 1867, ketika Singapura diisytiharkan sebagai jajahan Mahkota Britain.

Sementara itu, perkara sebegini tidak berlaku di perairan pulau Sumatera di Selat Melaka. Pihak Belanda tidak memberi tumpuan untuk membangunkan Indonesia malah lebih kepada hanya mengaut hasil bumi di Indonesia seperti rempah ratus untuk dipasarkan ke eropah atau di eksport ke pasaran dunia.

'Pembangunan berpusat di Jawa'

Indonesia merdeka pada tahun 17 Ogos 1945, namun dekad berikutnya ketika era pemerintahan presiden Soekarno dilihat tidak begitu serius dalam pembangunan ekonomi negara, berbanding politik antarabangsa.

Di pentas dunia Soekarna aktif dalam gerakan negara-negara berkecuali di tengah-tengah persaingan antara negara Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat selepas perang dunia kedua.

Selepas peristiwa konfrontasi dengan Malaysia pada 1963 dan keadaan kemiskinan yang semakin meruncing.

Kemudian meletus peristiwa Gerakan 30 September 1965, yang menyaksikan beberapa jeneral pejuang kemerdekaan republik itu dibunuh dalam pemberontakan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang gagal.

Akibatnya, presiden Soekarno digulingkan dan berlakulah pembantaian besar-besaran terhadap PKI dengan anggaran 500,000 orang terkorban, selain ribuan lagi dipenjarakan.

Jeneral Soeharto kemudian mengambil kekuasaan dan menjadi presiden Indonesia selama 32 tahun, sehingga meletak jawatan pada 1998.

Ketika era Soeharto, Indonesia menjalin hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan republik itu dilihat lebih makmur dalam aspek ekonomi.

Bagaimanapun pembangunan ekonomi tersebut hanya lebih tertumpu kepada Jakarta dan pulau Jawa sahaja. Bahkan sewaktu era pasca reformasi 1998, Indonesia masih juga dilihat lebih mengutamakan pembangunannya di pulau Jawa.

Ketiadaan keperluan untuk membangunkan pelabuhan, bandar atau pulau di perairan Selat Melaka pulau Sumatera.

Populasi penduduk di pulau Sumatera yang lebih kecil berbanding pulau Jawa dilihat sebagai tiada keperluan untuk aktiviti ekonomi dan pembangunan di pulau Sumatera dijalankan.

Sebagai contoh beberapa pulau di provinsi Riau seperti pulau Bengkalis dan pulau Rupat yang terletak begitu hampir dengan Melaka dan Muar, Johor juga masih sangat sedikit populasinya dibandingkan dengan beberapa bandar atau pekan di Malaysia.

Penghijrahan ramai penduduk dari pulau Sumatera ke Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik juga antara faktor penyumbang kepada kurangnya populasi penduduk di pulau Sumatera.

Faktor kemudahan pengangkutan seperti feri dan kapal terbang serta pembinaan pelabuhan serta lapangan terbang antarabangsa memudahkan dan merancakkan lagi aktiviti migrasi penduduk di pulau Sumatera ke Semenanjung Malaysia.

Faktor geografi beberapa kawasan pelabuhan di pulau Sumatera yang lebih cetek dan menyukarkan kapal-kapal besar untuk berlabuh di pelabuhan juga antara faktor mengapa pelabuhan-pelabuhan di beberapa pulau berpotensi dibangunkan seperti pulau Bengkalis dan Pulau Rupat tidak dapat dibina.

Kesannya, pembangunan ekonomi tidak dapat dicapai di pulau tersebut dan menyebabkan ramainya penduduk berpindah dan berhijrah ke Semenanjung Malaysia.

Pelabur asing kurang berminat untuk melabur di pulau Sumatera berbanding di pulau Jawa.

Indonesia menerima banyak kemasukan pelaburan asing ke dalam negaranya. Antara negara penyumbang terbesar kepada pelaburan asing ini adalah dari negara China.

China dilihat lebih berminat untuk melabur di Jakarta dan di beberapa bandar besar di pulau Jawa seperti Surabaya dan Bandung.

'Sumatera saingan Jawa'

Malah, kawasan metropolitan Jakarta iaitu Jabodetabekpunjur yang merangkumi kota Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi, Puncak, dan Cianjur yang dihuni oleh lebih 30 juta manusia yang melebihi jumlah penduduk di Malaysia dan di Asutralia itu sendiri sudah cukup untuk menggiurkan dan menarik para pelabur asing untuk memfokuskan pelaburan mereka hanya di pulau Jawa.

Faktor politik juga dilihat antara sebab mengapa pemerintah pusat Indonesia dilihat tidak berminat untuk memberi tumpuan pelaburan di pulau Sumatera. Sejak dari era kejatuhan Soeharto lagi, pulau Sumatera dilihat sebagai saingan terbesar politik kerajaan pusat Indonesia.

Sehingga ke hari ini, kita dapat lihat bagaimana pulau Jawa yang disifatkan lebih pro-Jokowi manakala pulau Sumatera dilihat lebih pro-Prabowo iaitu musuh politik terbesar presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Pertembungan budaya di antara masyarakat Jawa dan Minang di pulau Sumatera juga dilihat antara faktor mengapa pulau Jawa dan Sumatera disifatkan tidak bersatu dalam beberapa aspek.

Bagaimanapun pulau Sumatera jika dibandingkan dengan beberapa pulau-pulau lain di Indonesia seperti pulau Kalimantan, Sulawesi, Papua atau Nusa Tenggara dan sebagainya, ia masih dikategorikan sebagai antara pulau yang membangun di Indonesia.

Lihat saja bagaimana kota Medan yang merupakan antara kota ketiga terbesar di Indonesia dan antara kota yang rancak membangun hasil daripada kewujudan lapangan terbang antarabangsanya, dan juga kemudahan direct-flight yang banyak setiap hari ke Kuala Lumpur yang merupakan antara hab penerbangan Antarabangsa di rantau ini membolehkan kota Medan kiat pesat membangun.

Dalam ertikata lain, pembangunan di pulau Sumatera dilihat akan lebih rancak dan semakin berkembang di masa hadapan dengan adanya kemasukan pelaburan asing ke Indonesia juga disebabkan oleh pulau Jawa yang dihuni oleh lebih 60 peratus populasi Indonesia dilihat semakin padat dan tidak mampu lagi untuk menampung pembangunan dan kepadatan penduduk yang semakin meningkat saban tahun.

Maka, pulau Sumatera dilihat sebagai tapak alternatif bagi para pelabur dan bagi pemerintah untuk meratakan ekonomi Indonesia ke seluruh pulau serta merapatkan jurang ekonomi antara pulau dan provinsi dengan tidak hanya memfokuskan pembangunan di pulau Jawa sahaja.


EKMAL FAZZIL ialah graduan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Malaya.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.