Skip to main
Logo Malaysiakini

1,594 kes, lima kluster baru, lebih 55% di Lembah Kelang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes baru penularan wabak Covid-19 terus berada pada empat angka dengan 1,594 kes baru dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 106,690 dengan kes aktif sebanyak 20,643.

Selangor terus mencatatkan kes tertinggi, iaitu 697 kes atau 43.7 peratus daripada semua kes baru, hari ini. Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 194 kes (12.2 peratus) dan Johor yang melaporkan sebanyak 191 kes.

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Negeri Sembilan (160), Sabah (157), Pulau Pinang (69), Perak (47), Kelantan (28), Melaka (14), Kedah (12), Pahang (11), Putrajaya (9) dan Terengganu (3) dan Sarawak (2).

Perlis dan Labuan tidak mempunyai sebarang kes.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan medianya juga memaklumkan bahawa terdapat lima kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.

Kluster itu adalah seperti berikut:

  • Kluster tapak bina Jalan Gadang - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Kluster Menara Sri - Ini juga adalah kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Kerian di Perak.
  • Kluster Bukit Pasir - Ia juga kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Muar di Johor.
  • Kluster Pintu Geng - Kluster ini melibatkan daerah Kota Bharu di Kelantan.
  • Kluster Putra 15 - Kluster tempat kerja ini melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 275 kluster ini termasuk empat kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Putra-18, Kluster PTS Tawau, Kluster Tamar dan Kluster Intan.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 214 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya.

Kluster-kluster itu adalah kluster Hentian (261 kes), kluster Penjara Jalan Harapan (42 kes), dan kluster Ceram (40 kes).

Sementara itu, daripada keseluruhan 1,594 kes baru hari ini, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,181 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 85,592 atau 80.2 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 116 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.

Semua mangsa adalah warga negara dengan dua daripada mereka meninggal di Hospital Sungai Buluh, Selangor dan seorang lagi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 455 kes atau 0.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.