Pendaki kini nikmati teknologi 5G di Everest
GLOBAL | Lebih dua dekad lepas, apabila dua pendaki pertama negara M Magendran and N Mohanadas menjejakkan kaki di puncak Everest, mereka berkomunikasi dengan walkie-talkie dan terpaksa menunggu lebih 10 hari untuk memproses foto yang diambil di gunung tertinggi dunia itu.
Kini semuanya pantas dan canggih. Hasil kejayaan Huawei dan China Mobile memasang dua stesen pangkalan 5G di gunung itu pada April lalu, pendaki kini boleh gunakan pelbagai peralatan komunikasi termasuk telefon pintar, dan memuat naik terus gambar dan video perjalanan dengan peranti itu sehingga ketinggian 6,500 meter.
Menceritakan kisah nostalgik Ekspedisi Malaysia-Everest 97, Magendran menjelaskan bahawa ekspedisi yang diketuai Allahyarham Nor Ramlle Sulaiman itu telah dibekalkan dengan peralatan yang paling canggih pada ketika itu, dalam percubaan untuk menawan puncak setinggi 8,848m.
Ia termasuk walkie-talkie, telefon satelit Inmarsat-B yang dibekalkan Telekom Malaysia (TM) yang turut memasang pemancar di puncak Gunung Kala Patthar, sebuah gunung dengan ketinggian 5,643m berdekatan Everest untuk memudahkan komunikasi di antara pendaki dengan Kem Induk Everest (EBC).
Selain itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penaja siaran telah menghantar krew untuk menyediakan studio mini di EBC dan memasang peralatan telekomunikasi, seperti parabola untuk siaran langsung daripada ketinggian 5,400m.
Magendran, Pengetua SMK Taman Sri Muda, Shah Alam, berkata ahli pasukannya juga telah membawa satu tong bateri AAA yang dibekalkan oleh sebuah syarikat bateri, kerana terpaksa menukar bateri walkie-talkie dengan kerap.
“Apabila berada dalam keadaan yang begitu sejuk, kuasa bateri cepat menurun jadi kita kena sentiasa tukar atau ada masa kita balut bateri dengan selimut, untuk memastikan bateri itu tak sejuk. Walaupun kami mempunyai enam kamera ketika berada di puncak, tapi kebanyakkannya dah jam.
“Pada masa itu kita menggunakan filem, jadi kita tak dapat periksa sama ada gambar yang diambil itu jadi atau tidak jadi. Kita kena balik ke KL untuk hantar film ke kedai untuk cuci filem itu, barulah kita tahu sama ada gambar itu jadi atau tidak.
“Bukan macam sekarang, kita terus dapat tahu kalau gambar tak cantik, kita boleh ambil sekali lagi dan masih boleh memuat naik swafoto dari EBC. Daripada segi komunikasi peralatan sekarang memang canggih,” katanya ketika satu pendakian santai bersama kakitangan Bernama di Bukit Wawasan, Puchong dekat Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Magendran, 57, berkata sejurus dia dan Mohanadas tiba di puncak Everest pada 23 Mei 1997, mereka telah menghubungi ‘radio base’ yang disediakan oleh pasukan Malaysia di Kem 2 (6,500m) menerusi walkie-talkie, yang kemudian menyampaikan mesej itu ke EBC.
Dia berkata, dari EBC, RTM telah membuat siaran langsung mengumumkan berita yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia ketika itu. Malangnya, pasukan itu tidak dapat bercakap dengan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad yang berada di London kerana cuaca di Himalaya kurang baik.
Sementara itu, mengenai kesesakan di puncak itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mohanadas berkata ia disebabkan oleh ketidakseriusan kerajaan Nepal, dalam mengehadkan jumlah pendaki bagi setiap tahun.
Menurutnya, lebih 500 pendaki menggadai nyawa mereka untuk berdiri di puncak tertinggi itu setiap tahun, berbanding kurang daripada 200 pendaki setahun 20 tahun dahulu.
“Aktiviti pendakian sudah menjadi popular sekarang dan ramai berkemampuan. Laluan perjalanan dan pendakian memang sempit dan berbahaya, apabila ramai diberikan permit, keadaan akan sesak sehingga pendaki beratur menunggu giliran mereka.
“Apabila terlalu ramai, agak sukar untuk menyelamatkan diri sekiranya berlaku apa-apa bencana seperti runtuhan salji (avalanche) atau cuaca buruk. Kami bertuah kerana dapat meluangkan masa selama sejam di puncak pada 1997, tetapi kini hanya dapat berada di puncak selama beberapa minit sahaja,” kata Mohanadas yang menyambut ulang tahun ke-59 pada Isnin.
Bagi menggelakkan luka beku (frostbite) ketika pendakian di tempat beraltitud tinggi dan sejuk, dia menasihatkan para pendaki supaya sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berwajib dan memakai pakaian tahan sejuk yang berkualiti tinggi.
Daripada 20 pelatih terakhir, hanya 10 peserta dipilih untuk meneruskan misi pendakian ke Everest dengan empat pendaki - Magendran, Mohanadas dan juga allahyarham Mohamed Fauzan Hassan serta Gary Chong Kim Wah - sampai ke kem 4 (kem terakhir) di paras 8,000m, sebelum dua rakan mereka itu menarik diri kerana faktor kesihatan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai