Skip to main
Logo Malaysiakini

Perihal kerahsiaan dalam perjanjian vaksin Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdebatan antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dengan veteran DAP Lim Kit Siang berhubung vaksin Covid-19 pada minggu lalu membangkitkan satu perkara penting dalam proses pemerolehannya, iaitu perjanjian kerahsiaan (NDA).

Mengapa syarikat farmaseutikal seperti Pfizer dan Moderna mengenakan NDA? Adakah ia satu kelaziman? Siapa yang mendapat manfaat daripadanya?

Malaysiakini bercakap dengan dua pakar, penyelidik ekonomi kesihatan dan kesihatan awam Lim Chee Han dan pakar dasar kesihatan Dr Khor Swee Kheng berkenaan perkara ini.

Khor merupakan perunding bebas di beberapa pertubuhan manakala Lim berkhidmat dengan badan pemikir Third World Network.

Mereka berkata NDA adalah perkara biasa dan memberi kelebihan kepada syarikat farmaseutikal kerana ia membenarkan mereka meletakkan harga berbeza untuk produk. Ia juga melindungi syarikat daripada liabiliti jika vaksin membawa kesan buruk.

Walaupun mereka tidak setuju dengan penggunaan NDA bagi pemerolehan vaksin Covid-19, Khor dan Lim berkata kerajaan dan malah badan seperti Kesatuan Eropah tiada banyak pilihan kerana vaksin itu memang diperlukan.

Berikut adalah penerangan mereka. Suntingan dibuat untuk kejelasan.

Mengapa syarikat farmaseutikal mengenakan NDA? Apakah kelebihan buat mereka mahu?

Lim: Kerana kurangnya vaksin dan monopoli perundangan untuk teknologi ini di tangan syarikat yang memegang paten, kuasa tawar menawar tiada di tangan kerajaan, terutama negara lebih kecil.

Banyak produk vaksin masih dalam ujian klinikal tahap tiga. Syarikat pertama yang menunjukkan keputusan mereka adalah Pfizer, tetapi ia hanya untuk perlindungan jangka pendek. Tiada siapa tahu berapa lama kesan perlindungan vaksin ini.

Maka, jelas yang syarikat ini ingin melindungi kepentingan mereka. Mereka tidak mahu kerajaan-kerajaan membuat perbandingan dalam beberapa perkara, atau mendedahkan kepada orang awam tentang:

  • Harga pemerolehan vaksin
  • Tiadanya perlindungan untuk sebarang risiko kesihatan daripada suntikan
  • Tiadanya jaminan untuk masa penghantaran dan jumlahnya

Khor: Perlindungan paten dan harta intelek beri kelebihan dalam soal saingan. Kerahsiaan harga di kilang juga meningkatkan kuasa mereka untuk berunding dengan pembeli lain. Apabila pihak lain tak tahu harganya, penjual ada kelebihan.

Ini terutamanya kerana syarikat farmaseutikal multinasional berunding dengan negara dengan tahap kekayaan berbeza.

Adakah NDA satu amalan lazim dalam pemerolehan ubat?

Khor: Pemerolehan ubat di seluruh dunia adalah satu perniagaan yang kompleks, dan banyak berbeza mengikut negara. Secara umum, NDA memang lazim walaupun takatnya berbeza mengikut negara.

Lim: Ia satu amalan biasa - syarikat farmaesutikal memang membantah keras soal ketelusan harga.

Di Malaysia, kita tahu yang Kementerian Kesihatan tidak setuju dengan NDA bagi pemerolehan biasa. Jika pemerolehan ubat dibuat menerusi tender terbuka secara awam, seperti yang biasa dibuat kementerian, tidak akan ada sebarang NDA atau keterikatan lain.

Tidak bagus untuk kerajaan setuju dengan NDA tetapi ia atas kehendak syarikat farmaesutikal untuk melindungi kepentingan mereka.

Bagaimana NDA beri kesan terhadap usaha Malaysia untuk mendapat urus niaga yang baik dalam mendapatkan vaksin Covid-19?

Lim: Ia dapat beri kesan yang besar ekoran maklumat yang tidak selari.

Kerajaan tak akan tahu apakah harga terbaik serta terma dan syarat urus niaga jika syarikat turut memeterai NDA dalam urus niaga mereka yang lain. Kemungkinan besar kita juga dikenakan harga yang sama seperti negara yang lebih membangun.

Perlu ingat, ada vaksin lain yang akan masuk ke pasaran tak lama lagi. Memandangkan mereka ada kelebihan sebagai perintis, bukan hal yang mengejutkan jika syarikat farmaseutikal menggunakan strategi ini untuk mendapat keuntungan maksimum.

Khor: Untuk dapatkan urus niaga yang baik, NDA terhadap harganya adalah penting tetapi bukan itu saja faktornya. Maka, Malaysia tidak harus melihat soal harga semata-mata.

Faktor lain yang perlu diambil kira termasuk jadual penghantaran, aturan logistik, perkhidmatan nilai tambah lain, belanja keseluruhan dan jika ada teknologi lain yang lebih selamat.

Bagaimana negara lain menyeimbangkan keperluan terhadap ketelusan ketika mematuhi NDA? Apakah amalan terbaik yang boleh digunapakai Malaysia?

Khor: Malaysia boleh kurangkan kuasa rundingan yang ada pada syarikat farmaseutikal dengna menggunakan rujukan kadar harga luaran (external reference pricing, ERP).

Secara asasnya, ERP membandingkan harga ubat untuk sekumpulan negara dengan saiz atau kekayaan yang serupa. Tetapi ERP tidak sempurna - ia perlukan masa dan masih terikat dengan NDA.

Walaupun kerajaan di bawah NDA, ia tak boleh "bersembunyi" di belakangnya. Ketelusan akan meningkatkan keyakinan awam terhadap vaksin dan ia seterusnya meningkatkan tahap kesihatan awam.

Kita boleh bina keyakinan dan lawan korupsi dalam soal ini dengan cara:

Mengumumkan kos keseluruhan vaksin. Terdahulu, dinyatakan RM2.05 juta akan dibelanjakan bagi vaksin untuk 26.5 juta rakyat (atau 53 juta dos). Bermakna RM39 bagi setiap dos. Ia agak murah. Tahniah buat Khairy atas hal ini.

Tahniah juga buat Khairy kerana menawarkan untuk mendedahkan lebih maklumat kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

Kerajaan boleh menyatakan komitmen untuk menunjukkan perincian setiap kontrak pada waktu yang dipersetujui. Misalnya, dua tahun selepas menandatanganinya. Tidak sukar untuk memasukkan klausa ini dalam kontrak dengan Pfizer.

Kerajaan juga boleh membentangkan lebih banyak perincian bukan berkaitan harga seperti terma untuk logistik, perlindungan dan insurans. Perkhidmatan nilai tambah ini tidak berkaitan dengan harga dan boleh menjadi maklumat awam.

Lim: Jika lebih banyak negara berganding bahu dan menyuarakan gesaan mereka, mungkin kuasa tawar menawar akan meningkat dan mereka boleh tentukan terma rundingan dengan syarikat.

Apa yang diketahui setakat ini berkaitan pemerolehan vaksin Covid-19 oleh Malaysia?

Minggu lalu, Khairy berkata Malaysia telah menempah dos yang lebih daripada cukup untuk seluruh warga dewasa.

Ekoran NDA, dia membayangkan Malaysia mendapat harga yang lebih baik daripada Pfizer selepas Belgium didapati akan membayar 12 euro (RM59.40) bagi setiap dos.

Kerajaan Malaysia akan belanja RM2.05 bilion untuk sediakan vaksin kepada 26.5 juta orang, atau 82.8 peratus warga Malaysia. Warga akan menerima vaksin secara percuma.

Kos itu termasulah tiga perjanjian dengan Covax, Pfizer dan AstraZeneca yang telah dimuktamadkan.

Ia juga termasuk perjanjian dengan tiga lagi syarikat, Sinovax, CanSinoBIO, and Gamaleya yang sedang berjalan. Vaksin daripada syarikat ini masih di tahap ujian dan belum diluluskan badan kawal selia.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam proses meluluskan penggunaan vaksin Pfizer di Malaysia.

Penghantaran pertama vaksin Pfizer dijangka tiba pada Feb 2021.