Skip to main
Logo Malaysiakini

1,925 kes, sembilan kluster baru, kenaikan mendadak di Pahang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes baru penularan wabak Covid-19 terus berada pada empat angka hari ini dengan 1,925 kes berbanding 1,594 kes yang dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 108,615 dengan kes aktif sebanyak 21,443.

Selangor terus mencatatkan kes tertinggi, iaitu 747 kes atau 38.8 peratus daripada semua kes baru, hari ini. Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 360 kes (18.7 peratus) dan Pahang yang melaporkan sebanyak 288 kes (15 peratus).

Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu kluster Tembok Mempaga yang melaporkan sebanyak 282 kes (98.0 peratus).

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Sabah (230), Johor (110), Negeri Sembilan (60), Pulau Pinang (57), Kelantan (31), Perak (17), Melaka (9), Kedah (8),Sarawak (4), Terengganu (2) dan Putrajaya (2).

Perlis dan Labuan tidak mempunyai sebarang kes.

Dr Noor Hisham dalam kenyataan medianya juga memaklumkan bahawa terdapat sembilan kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.

Kluster itu adalah seperti berikut:

  • Kluster Seri Lanang - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Klang, Gombak, Kuala Selangor dan Petaling di Selangor.
  • Kluster Jalan Chu - Ini juga adalah kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Kluster tapak bina Awan Puteh - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Kluster Integra Ikon - Ini adalah kluster tempat kerja di daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Kluster Jalan Satang - Kluster ini melibatkan daerah Titiwangsa dan Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; daerah Hulu Langat, Klang, Petaling dan Gombak di Selangor; serta daerah Bentong di Pahang.
  • Kluster Tembok Mempaga - Ini pula adalah kluster yang melibatkan daerah Bentong di Pahang.
  • Kluster Timbang Dayang - Kluster ini melibatkan daerah Kota Belud di Sabah.
  • Kluster Teguli - Ini melibatkan daerah Putatan di Sabah.
  • Kluster Rambai - Kluster ini melibatkan daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah di Melaka; daerah Petaling di Selangor; dan daerah Rembau di Negeri Sembilan.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 278 kluster ini termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Bot Biru, kluster Gedong, dan kluster Jernih.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 220 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya.

Kluster-kluster itu adalah kluster Tembok Mempaga (282 kes), kluster Seri Lanang (168 kes), dan kluster tapak bina Lebuh (125 kes).

Sementara itu, daripada keseluruhan 1,925 kes baru hari ini, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,123 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 86,715 atau 79.8 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 117 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.

Kedua-dua mangsa adalah warga negara yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buluh, Selangor dan seorang lagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 457 kes atau 0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.