Skip to main
Logo Malaysiakini

Zulkifli sambut baik hasrat KPDNHEP tubuh jawatankuasa isu halal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama), Dr Zulkifli Mohamad menyambut baik hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal.

Ia katanya, bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal, yang akan turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

"Selain itu, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik yang telah dipersetujui bersama.

"Semoga hasrat yang murni ini dipermudahkan Allah SWT demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zuklifli berkata penjelasan timbalan menteri, Rosol Wahid menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan ramai pihak mengenai isu kartel daging import.

Antaranya, semua daging yang terlibat telah dirampas dan disita dengan aset syarikat dibekukan bernilai RM1 juta, selain pertuduhan akan dibuat esok terhadap sebuah syarikat pengimport daging kerana menggunakan logo halal palsu pada kenderaan mereka.

Katanya lagi, dakwaan bahawa kartel daging haram berada di pasaran selama 40 tahun juga adalah tidak benar kerana syarikat tersebut berdaftar pada tahun 2014 dan mendapat permit import pada tahun 2017.

Selain itu Zulkifli berkata pihaknya dan Jakim telah mengambil inisiatif mengadakan lawatan ke AlHilal Food Processing Sdn Bhd, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan HS Nada Sdn Bhd semalam dan hari ini bagi pemantauan berkala.

"Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produkproduk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik.

"Bagi produk daging import, Jakim akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar negara mematuhi semua standard yang telah ditetapkan," jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.