Skip to main
Logo Malaysiakini

Perhilitan serbu pusat pemulihan, rampas empat ekor ungka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyerbu Projek Pemulihan Ungka (Grep) di Pahang.

Berdasarkan video yang dikongsi pengasas Grep Mariani Ramli, pegawai polis juga berada di tempat kejadian.

Serbuan itu dilakukan ketika kes mahkamah masih berlangsung antara Mariani dan Perhilitan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mariani berkata, beberapa pegawai Perhilitan tiba jam 8 pagi tadi dan berkata mereka mahu merampas enam daripada 15 ungka di tempat perlindungan itu.

Menurut Mariani, Jabatan Perhilitan melakukan serbuan itu atas alasan Mahkamah Rayuan telah menetapkan bahawa pusat perlindungan itu tidak mempunyai kebenaran untuk menjaga ungka, meskipun rayuan masih boleh dibuat di Mahkamah Persekutuan.

“Mereka mahu ambil ungka ini kerana katanya saya tiada hak untuk jaga. Saya kalah kes ini di Mahkamah Rayuan tetapi keputusan benarkan kami buat rayuan. Kes mahkamah belum lagi selesai.

“Ini tak adil. Pegawai itu juga tidak mahu bercakap dengan peguam saya. Mereka hanya dengar pengarah Perhilitan,” katanya ketika dihubungi.

Mariani turut meluahkan rasa bimbang bahawa serbuan berkenaan akan memberi kesan terhadap ungka itu.

“Ini akan menggangu proses pemulihan ungka ini. Mereka tidak fikir keadaan haiwan ini,” jelasnya.

Mariani berkata, seekor ungka telah terlepas ketika pegawai Perhilitan cuba menangkapnya.

Pegawai Perhilitan meninggalkan pusat itu pada jam 6.30 petang selepas merampas empat ekor ungka. 

Serbuan itu dilakukan selama 10 jam.

Menurut Mariani, mereka akan kembali ke pusat itu esok untuk merampas dua lagi ungka.

Perhilitan ikut arahan mahkamah

Peguam Mariani, Jessica Binwani menerangkan kepada Malaysiakini bahawa anak guamnya telah membawa Perhilitian ke mahkamah berhubung dakwaan pemecatan tidak sah pada tahun 2016.

Mariani yang juga bekas renjer Perhilitan memfailkan kes di mahkamah untuk mencabar surat pemberhentiannya dan juga perintah Perhilitan agar dia mengembalikan enam ungka di bawah jagaannya semasa bekerja di jabatan itu.

Mariani memenangi kes itu di Mahkamah Tinggi tetapi keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 15 Nov.

Jessica menambah, pihaknya telah memfailkan permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Mereka belum mengemukakan permohonan untuk menangguh keputusan Mahkamah Rayuan tetapi telah memberitahu mahkamah mengenai niat mereka untuk berbuat demikian.

“Pada pandangan kami, status quo perlu kekal. Biarkan permohonan rasmi difailkanm, biarkan ia didengar. Semua tahu kami akan mengemukakan permohonan penangguhan dan Mahkamah Rayuan memerintahkan kami untuk melakukannya.

“Kenapa tergesa-gesa nak ambil ungka sekarang? Kenapa tergesa-gesa alihkan mereka dari tempat yang sememangnya selamat dan dijaga rapi,” soal Jessica.

Disebabkan permohonan untuk penangguhan belum difailkan, Jessica mengakui Perhilitian memang mempunyai hak untuk merampas ungka-ungka berkenaan.

“Tetapi ini bukan persoalan untuk mengambil barang dari kilang atau runtuhkan bangunan. Ini ungka, binatang terancam di dunia,” katanya.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan respons, Pengarah Perhilitan Abu Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya mempunyai hak untuk membuat serbuan itu.

“Ini perintah mahkamah. Ungka itu harus diberikan kepada Perhilitan,” katanya.

Abu Kadir turut mendakwa dia tidak tahu menahu berhubung permohonan rayuan Mariani.

“Sehingga sekarang, kami tiada arahan berhubung perkara tersebut,” jawabnya.

Pegawai Perhilitan Pazil Abdul Patah juga berkata pegawainya bertindak mengikut arahan mahkamah.

Dia turut menjelaskan enam ungka yang ingin dirampas pada asalnya milik jabatan itu, yang kemudian diselamatkan oleh Mariani ketika bekerja di sana.

“Perhilitan akan membuat pemulihan kepada ungka itu. Kita ada pakar,” kata Pazil ketika ditanya adakah rampasan ini akan menganggu proses pemulihan spesis terancam itu.