Hanif Omar gesa Jakim lepas sepenuhnya soal pensijilan halal
Susulan isu kartel daging import yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata rombakan perlu dilakukan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam soal pensijilan halal.
Pengerusinya Mohamed Hanif Omar mencadangkan tanggungjawab tersebut wajar diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Halal Malaysia (MHM).
“Aktifkan semula MHM yang dibekukan fungsinya oleh kerajaan PH sebelum ini. MHM harus ambil alih Skim Pensijilan Halal dengan Jakim,” katanya seperti dipetik portal Malaysia Gazette.
Menurutnya, untuk tujuan itu, pasukan petugas perlu ditubuhkan di bawah majlis tersebut dan dianggotai Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Majlis Agama Islam Negeri, SPRM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Kastam, polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya lagi, Jakim juga perlu dihukum atas "dosa" membiarkan kegiatan tersebut yang sebelum ini dilaporkan telah berjalan selama 40 tahun.
“Rombakan besar-besar perlu dilakukan dengan melantik mereka yang kompeten, berintergiriti bagi bukan sahaja menerajui tetapi membangunkan dan memajukan industri ternakan negara,” kata bekas ketua polis negara itu lagi seperti dipetik.
Pada Februari 2016, Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal Malaysia telah bersetuju menubuhkan MHM di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan fungsi meneraju dan menyelaras inisiatif berkaitan pengurusan dan pembangunan industri halal di Malaysia.
Pada masa sama, Hanif berkata isu tersebut juga membuktikan kegagalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar membangunkan industri ternakan sehingga negara bergantung dengan daging import.
“Pesalah rasuah perlu dihukum berat. Selain penjara dan denda tertakluk kepada betapa beratnya kes disabitkan mereka perlu dihukum berat dan jika kesalahan cukup berat lucut kewarganegaraan dan dinyahkan dari negara,” katanya lagi.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu didalangi sindiket dalam dan luar negara
Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta merangkumi "pihak terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat dan membawa masuk daging beku melalui Permit Import (AP)".
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad pula berkata kerajaan sedang menimbang penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung perkara itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai