Skip to main
Logo Malaysiakini

Perhilitan henti serbuan di pusat pemulihan ungka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas serbuan selama sepuluh jam semalam, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kembali ke pusat Projek Pemulihan Ungka (Grep) di Pahang.

Tiba kira-kira pukul 10.30 pagi, mereka kemudian menghentikan operasi mereka sekitar jam 2 petang tanpa merampas ungka.

Masing-masing kakitangan pusat itu dan jabatan berkenaan memberi alasan berbeza kepada Malaysiakini untuk menghentikan serbuan.

Pengurus projek Grep Farhanah Bamadhaj berkata, pegawai Perhilitan beredar setelah mereka gagal mengemukakan waran serbuan mereka. Dia kemudian membuat laporan polis terhadap jabatan itu.

Bagaimanapun, Pengarah Perhilitan Pazil Abdul Patah memberitahu Malaysiakini bahawa jabatan itu tidak memerlukan waran. Dia menjelaskan bahawa serbuan itu dibatalkan setelah petugas gagal memujuk ungka untuk bekerjasama.

Menurut Farhanah, 14 pegawai Perhilitan tiba di pusat itu pagi ini untuk merampas dua lagi ungka. Empat ungka dirampas semalam.

Dia berkata dia meminta petugas menunjukkan waran mahkamah kepadanya. Ketika pegawai Perhilitan gagal menunjukkannya, dia menyuruh mereka beredar.

Farhanah kemudian membuat laporan polis di balai polis Cheroh di Raub, Pahang.

Menurut laporan itu, yang dilihat oleh Malaysiakini, dia mendakwa jabatan itu tidak berhak merampas ungka berkenaan dari tempat perlindungan itu.

"Sekiranya mereka tidak memiliki waran, Perhilitan tidak mempunyai hak di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 untuk mengambil ungka itu.

"Pada 29 Disember, 8.30 pagi, Perhilitan sudah mengambil empat ekor tanpa waran mahkamah," kata laporan itu.

Seksyen 94 Akta itu menyatakan bahawa pegawai Perhilitan memerlukan kebenaran daripada majistret dalam bentuk waran untuk melakukan prosedur penggeledahan dan penyitaan.

Ketika dihubungi, Pazil mengatakan keputusan Perhilitan untuk beredar bukan kerana tiada waran.

Jelasnya, pihaknya beredar kerana tidak mahu menggunakan pelali terhadap ungka itu.

"Kami ingin membiarkan ia memasuki perangkap sendiri tapi ia enggan. Kami akan mencuba lagi,” katanya, sambil menambah bahawa dia tidak tahu bila jabatan itu akan kembali ke pusat perlindungan berkenaan.

Ketika ditanya sama ada pegawainya mempunyai waran untuk memasuki pusat itu, Pazil menegaskan bahawa Perhilitan diberi kuasa di bawah Seksyen 97 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 untuk melakukan serbuan tanpa waran.

Bahagian ini membenarkan pegawai penguat kuasa memasuki tanah negara, tanah terpelihara, hutan simpanan tetap, tanah terasing, dan tanah perlombongan tanpa waran.

"Perhilitan dapat masuk walaupun tanpa waran. Perhilitan sangat berkuasa,” katanya.

Pertikaian mahkamah

Serbuan itu berlaku di tengah-tengah kes mahkamah yang sedang berlangsung antara pengasas Grep, Mariani Ramli dan Perhilitan.

Sebelumnya, Mariani telah menyatakan kebimbangan serbuan itu akan membuat trauma pada ungka, seterusnya menjejaskan proses pemulihan sepanjang dijaga mereka.

"Perhilitan tidak seharusnya menceroboh kawasan saya kerana mereka tiada kebenaran untuk masuk daripada saya.

"Mereka juga mengalihkan ungka walaupun tahu binatang ini dalam proses pemulihan. Mereka boleh saja datang dan periksa kerja-kerja pemulihan yang saya lakukan.

"Saya sentiasa mengalu-alukan mereka dan berkongsi laporan dengan jabatan, serta sedia untuk pegawai mereka membuat audit terhadap projek ini.

"Pemindahan kawasan ini menimbulkan trauma yang sepatutnya boleh dielakkan, terutama ungka Daru dan Chantiq kerana kedua-duanya mengalami masalah zoochosis," katanya.

Zoochosis adalah keadaan di mana haiwan menunjukkan kelakuan tidak normal kerana dikurung.

Serbuan itu dibuat di tengah-tengah kes mahkamah antara Mariani dan Perhilitan.

Mariani yang juga bekas renjer Perhilitan memfailkan kes di mahkamah untuk mencabar surat pemberhentiannya dan juga perintah Perhilitan agar dia mengembalikan enam ungka di bawah jagaannya semasa bekerja di jabatan itu.

Mariani memenangi kes itu di Mahkamah Tinggi tetapi keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 15 Nov.

Peguamnya, Jessica Binwani Jessica telah memfailkan permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada 14 Dis.

Mereka belum mengemukakan permohonan untuk menangguh keputusan Mahkamah Rayuan tetapi telah memberitahu mahkamah mengenai niat mereka untuk berbuat demikian.

Memandangkan permohonan penangguhan belum difailkan, Perhilitan ada hak untuk merampas ungka di pusat itu.

Semalam, Ketua Pengarah Perhilitan Abu Kadir Abu Hashim memberitahu Malaysiakini yang pihaknya memang ada kuasa untuk membuat serbuan itu.

"Ini perintah mahkamah. Ungka itu harus diberikan kepada Perhilitan,” katanya sambil menambah tidak tahu berkenaan permohonan rayuan Mariani.

Pegawai Perhilitan Pazil Abdul Patah juga berkata pegawainya bertindak mengikut arahan mahkamah.

Dia turut menjelaskan enam ungka yang ingin dirampas pada asalnya milik jabatan itu, yang kemudian diselamatkan oleh Mariani ketika bekerja di sana.

Malaysia memiliki lima daripada 20 spesis ungka dan kelima-limanya termasuk dalam senarai spesies terancam IUCN.

[Baca berita asal]