ULASAN | Mahasiswa leka atau manja?
Ketika mahasiswa di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand sedang memberontak menentang kelakuan pemimpin negara mereka, mahasiswa di negara kita masih berdiam diri.
Adakah mahasiswa kita sebenarnya leka, manja dan takut?
Di Indonesia mahasiswa menjadi penggerak kepada demonstrasi menentang usul baru undang-undang cipta kerja (Omnibus Law) yang dikatakan tidak melindungi hampir 70% hak pekerja.
Senario yang hampir sama juga di Thailand mahasiswa juga menjadi ejen penggerak tunjuk perasaan yang menuntut reformasi monarki Thailand.
Umum tahu negara kita juga dikejutkan dengan ketidakstabilan politik yang berlaku akibat perebutan kuasa oleh ahli politik di negara kita.
Tampuk pimpinan kerajaan telah dirampas oleh Pakatan Nasional.
Namun situasi yang sama sekali lagi hampir berlaku apabila Anuar Ibrahim menyatakan beliau sudah mendapat sokongan cukup untuk membentuk kerajaan baru.
Namun tindak balas rakyat Malaysia amat berbeza dengan negara jiran.
Mungkin ramai yang terlupa gerakan mahasiswa di Malaysia juga agresif pada suatu masa dahulu.
Tetapi kebelakangan ini gerakan mahasiswa tidak lagi garang seperti dahulu.
Jika dilihat gerakan mahasiswa pramerdeka, Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) boleh dikatakan menjadi tempat mengumpulkan anak muda untuk menyemarakkan kesedaran politik untuk menuntut merdeka.
Perjuangan gerakan mahasiswa dan belia atau lebih sinonim dengan pemuda pada masa itu boleh dikatakan radikal dan banyak parti politik telah didirikan oleh golongan ini seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API). Tokoh-tokoh seperti Syeikh Tahir Jalaluddin dan Ahmad Boestamam juga muncul pada ketika ini.
Satu lagi contoh gerakan mahasiswa dapat dilihat dengan peristiwa kebangkitan mahasiswa 1971-1975.
Pada ketika ini Kerajaan Malaysia baru sahaja memperkenal Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Selepas pilihan raya 1974, satu berita tentang kemelaratan kehidupan rakyat Kedah akibat kemelesetan ekonomi telah menyemarakkan kebangkitan mahasiswa dipelopori oleh mahasiswa Universiti Malaya di Bangsar dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam.
Kemuncak gerakan ini adalah dengan mahasiswa mengadakan demonstrasi di Kelab Sultan Sulaiman dan Masjid Negara.
Pengakhiran kebangkitan ini adalah dengan 11 orang mahasiswa ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1948 (ISA).
Mereka dituduh membaling batu dan memaki hamun polis sebagai "anjing kerajaan" dan "barua kerajaan”.
Antara mahasiswa yang ditahan ialah Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali dan Idris Sanusi.
Jika kita ingin mengatakan sikap masyarakat kita adalah bertoleransi dan diplomatik, contoh yang saya utarakan ini menunjukkan golongan mahasiswa dan belia bertindak apabila mereka dicubit dan situasi ini tidak lagi berlaku.
Kita juga dapat lihat persepsi orang ramai terhadap golongan mahasiswa dan belia seperti anak kecil.
Mereka perlu menumpukan perhatian di bilik kuliah dan fokus terhadap pengajian mereka.
Situasi ini amat menyakitkan apabila golongan ini cuba bersuara mereka diperlekehkan sedangkan masa depan mereka juga terjejas akibat polisi kerajaan jika hak-hak mereka tidak dijaga.
Justeru mahasiswa dan belia perlu berlapang dada dan perlu peka akan situasi di sekeliling mereka dan bertindak dengan wajar.
Kerana mereka ini adalah masa depan negara dan takdir negara terletak di bahu mereka.
Semoga mahasiswa dan belia terus maju!
ZAID SHAH HEMAT ZULKARNAIN adalah pelajar jurusan ijazah Sarjana Muda Pengajian Media di Universiti Malaya.
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai