Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki maut tertimbus tanah runtuh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lelaki maut tertimbus runtuhan tanah dalam kejadian di Jalan Lama Tuaran, Bandar Sierra di Kota Kinabalu lewat petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah menerusi kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa Sukirman Rappe, 43, menjalankan kerja pengambilan tanah menggunakan jengkaut sebelum tanah itu runtuh dan mangsa tersepit dalam runtuhan tersebut.

"Balai Bomba dan Penyelamat Lintas menerima panggilan kecemasan pada 4.09 petang dan seterusnya menghantar satu jentera FRT (Fire Rescue Tender) bersama satu jentera EMRS (Emergency Medical Rescue Services) bergegas ke lokasi dengan kekuatan lapan anggota.

"Mangsa berjaya dikeluarkan pada 5.12 petang oleh pasukan Bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan," katanya.

Siasatan awal mendapati Sukirman bukan warganegara Malaysia dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti kerakyatan mangsa.

- Bernama