Skip to main
Logo Malaysiakini

Perjanjian palsu cuba kaburi Rosmah terima rasuah - Pendakwaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Satu perjanjian “rundingan” palsu digunakan untuk mengaburi pembayaran rasuah daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Shamsuddin kepada Rosmah Mansor, kata pendakwaan.

Pada hujahan bertulis yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, pendakwaan kes rasuah isteri bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa perjanjian yang kini tidak dapat dijejaki itu hanya kaedah menampakkan pembayaran kepada Rosmah seperti urusan yang lazim berlaku.

"Tujuannya adalah untuk menyediakan perjanjian bagi menyamarkan tujuan sebenar bayaran oleh Saidi kepada tertuduh. Perkataan “rundingan” sekadar cara halus untuk mengabui bayaran rasuah berkenaan,” kata dokumen mahkamah, lapor FMT.

Pemfailan di mahkamah ini berkaitan dengan perbicaraan rasuah Rosmah dalam kes projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk menjana tenaga eletrik di 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pendakwaan diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram, yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Idham Abdul Ghani, Ahmad Akram Gharib, Mohamed Mustafa Kunyalam dan Poh Yin Tinn.

Dalam dokumen mahkamah itu lagi, pihak pendakwaan menyatakan jika bayaran berkenaan benar-benar sekadar sumbangan politik untuk suami tertuduh, Najib Razak yang juga perdana menteri ketika itu, maka tiada sebab untuk menyatakannya sebagai satu perjanjian rundingan.

Pendakwaan mengatakan Jepak Holdings ingin mendapatkan kontrak daripada Kementerian Pendidikan untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada sekolah-sekolah, tetapi menteri ketika itu Mahdzir Khalid tidak menyokong langkah itu.

Pendakwaan berkata Saidi dan rakan kongsinya ketika itu, Rayyan Radzwill Abdullah, menemui pembantu Rosmah, Rizal Mansor (gambar, bawah), untuk mendapatkan bantuannya dalam memperoleh kontrak berkenaan.

Kata pendakwaan, Saidi dalam pertemuan diatur Rizal pada 2016 mencadangkan kepada Rosmah bahawa dia akan menyumbang 10 peratus nilai kontrak kepada Najib sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya.

Menurut pendakwaan Rosmah berkata, banyak wang diperlukan untuk tujuan politik, seterusnya mengarahkan Rizal membawa Saidi dan Rayyan menemui ahli perniagaan, Desmond Lim.

Pendakwaan menuduh perjanjian palsu itu disiapkan peguam, Lawrence Tee Kien Moon, yang dirujuk kepada mereka oleh Desmond.

"Bagaimanapun, perjanjian itu kini tidak dapat ditemui, dan pendakwaan berhujah Lawrence saksi yang boleh dipercayai. Walaupun ada yang menuduhnya bersikap tidak beretika, kewibawaannya tidak dapat disangkal.

"Beliau saksi yang tidak berkepentingan yang hanya timbul kerana tertuduh menghantar Said, Rayyan, dan Rizal menemui Desmond Lim. Keterangannya bersifat menyokong,” kata pendakwaan.

Tertuduh memang meminta rasuah, menurut hujah pendakwaan.

Ini, kata pendakwaan kerana sebaik Saidi (gambar, bawah) dan Rayyan meninggalkan kediaman peribadinya, Rosmah mengarahkan Rizal menaikkan jumlah sumbangan daripada 10 peratus kepada 15 peratus.

"Selain itu, boleh dikatakan bahawa kes pembelaan kononnya wang berkenaan satu sumbangan politik adalah tidak relevan kerana mengikut takrifnya sekalipun, sumbangan adalah sejenis imbuhan,” kata pendakwaan.

Dakwanya, Saidi menunaikan cek RM1.5 juta di sebuah bank, dan wang itu dimasukkan ke dalam dua beg dan dimasukkan ke dalam kenderaannya. Pemandunya, Shamsul Rizal Sharbini, didakwa memandu kenderaan itu ke kediaman peribadi Rosmah di Langgak Duta.

"Gambar dan video diambil Rayyan mengesahkan beg berkenaan memang wujud. Saidi memaklumkan Rosmah bahawa dia membawa RM1.5 juta sebelum mereka berdua beredar selepas pertemuan singkat," kata pendakwaan.

Pembelaan akan fail hujahan balas

Menurutnya, Rizal yang berada di bilik bersebelahan mendengar tertuduh mengarahkan seorang butler mengambil beg berkenaan ke biliknya.

Pendakwaan berhujah, tindakan meminta rasuah diikuti bayaran pertama serta kedua sebenarnya sebahagian daripada transaksi sama.

“Susulan itu, bukti langsung mengenai penerimaan RM1.5 juta itu relevan terhadap penghantaraan dan penerimaan RM5 juta sebelumnya,” katanya.

Ketika dihubungi oleh Malaysiakini hari ini, peguam bela Rosmah, Akberdin Abdul Kadir (gambar atas) berkata pihaknya akan bertindak balas melalui pemfailan di mahkamah kemudian.

"Kami akan segera mengemukakan hujahan balas kami di mahkamah," kata Akberdin.

Rosmah berhadapan tiga tuduhan rasuah, satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta antara 2016 dan 2017.