Skip to main
Logo Malaysiakini

Rara nafi bakal diijab kabul awal 2021

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman, menafikan dakwaan dia akan melangsungkan perkahwinan pada tahun depan.

“Tak betul. Anyway, happy new year (selamat tahun baru),” jawabnya ringkas kepada Malaysiakini.

Young Syefura berkata demikian ketika ditanya mengenai hantaran Facebook adik kepada Azmin Ali, Ummi Hafilda Ali, yang mengucapkan tahniah kepadanya kerana didakwa bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan.

Menurut hantaran itu, Young Syefura yang lebih dikenali sebagai Rara dikatakan bakal bertunang dengan jejaka tersebut pada Jan 2021 manakala majlis resepsi akan diadakan pada Mac.

Ummi turut memuat naik gambar pasangan tersebut.

Bagaimanapun hantaran tersebut telah dipadam tidak berapa lama kemudian.

Untuk rekod, Rara, 31, pernah mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Masyur, seorang pengurus pelaburan pada 24 Sept 2016.

Namun pasangan tersebut bercerai talak satu pada 7 Mac 2019. Kedua-dua mereka tidak dikurniakan cahaya mata.