Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Selangor abadikan nama Ungku Aziz gantikan Jalan Universiti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk menamakan semula Jalan Universiti di Petaling Jaya dengan nama Jalan Prof Diraja Ungku Aziz.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Muhamad Munir Bani berkata baginda berkenan mengabadikan nama Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid itu bagi mengenang jasa dan bakti tokoh tersohor tanah air dalam bidang pendidikan serta ekonomi Melayu semasa hayatnya.

"Pemilihan Jalan Universiti untuk dinamakan semula kepada Jalan Prof Diraja Ungku Aziz adalah bertepatan kerana jalan (tersebut) adalah pintu masuk utama ke pusat-pusat pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Mahsa.

"Baginda juga berkenan menerima menghadap anak Allahyarham, Dr Zeti Akhtar Aziz bagi menyampaikan hasrat baginda sekali gus memutuskan pertukaran nama jalan berkenaan," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook @Selangor Royal Office hari ini.

Menurut Muhamad Munir pertukaran nama jalan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya Ungku Abdul Aziz pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (Singapura) dari 1952 hingga 1961, seterusnya menjadi Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (Kuala Lumpur) bagi tempoh 1962 hingga 1965.

Jalan Universiti sepanjang 3.2 kilometer merupakan antara jalan utama menghubungkan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, dibina pada 1960.

Ungku Abdul Aziz meninggal dunia di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 15 Dis lalu.

- Bernama