Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kosmopolitan Islam dan teras pembinaan bangsa Malaysia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Memasuki tahun 2021, ia menandakan berakhirnya Wawasan 2020; satu wawasan yang digagaskan pada 28 Februari 1991, yang telah “diutopiakan’ dengan pelbagai dendangan imaginasi bangsa dan negara yang bakal disarung oleh rakyat. 

Selain kepesatan teknologi dan kemakmuran ekonomi, turut diselitkan salah satu cabaran dalam Wawasan 2020 - “Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama”.

Mengakhiri tahun 2020, kira-kira selepas 30 tahun ia diasaskan, cabaran yang dikemukakan menyentuh soal integrasi dan kohesi nasional masih belum dirungkai sebaiknya. Sentimen kaum yang menebal, prasangka antara satu sama lain sentiasa menjadi bibit kepada bebola permasalahan yang boleh tercetus pada bila-bila masa.

Tahun 2021, pastinya menuntut kita untuk mencambahkan lagi usaha dan gagasan untuk disajikan kepada rakyat Malaysia untuk membina perpaduan yang lebih utuh. Lebih-lebih lagi pertubuhan belia, yang pasti mempunyai tanggungjawab besar dalam membentuk naratif yang murni untuk generasi muda. 

Menyedari hakikat tersebut, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggagaskan satu jalan tuntas atas tema Kosmopolitan Islam sebagai asas kepada pembinaan Bangsa Malaysia yang menjadi nadi kepada penyatuan bangsa. Gagasan ini telah dibentangkan menerusi Ucapan

Dasar bersempena Perhimpunan Agung Tahunan atau Muktamar Sanawi Abim Kali ke-49 pada 26 Disember 2020 yang lalu.

Di sini Abim menegaskan bahawa kekhuatiran yang perlu dirungkaikan dahulu adalah berkenaan dengan gagasan Bangsa Malaysia yang sering disalahtanggapi lebih-lebih lagi bilamana ia dilihat dalam neraca politik. Ada yang berpandangan ia seolah idea pemimpin elit Melayu sebagai medium mencairkan identiti kaum lain, tidak kurang ada yang menyatakan ia sebagai mirip “Malaysian Malaysia” yang dikaitkan dengan usaha menjunamkan ‘survival’ bangsa majoriti.

Kekalutan sisi pandang ini berpunca daripada kesilapan kita melihat identiti kaum menerusi kanta yang tepat yang seharusnya membangunkan keutuhan perpaduan dan bukan merosakkan kesepakatan bangsa yang pelbagai. Di sini penting untuk dicermati buku Identity & Violence, di mana Amartya Sen mengingatkan kita untuk mewaspadai kepelbagaian identiti. Menerusi identiti dari sisi positif ia berupaya untuk menjadi sumber kebanggaan dan kegembiraan serta kekuatan dan keyakinan.

Namun, identiti boleh membunuh apabila sisi negatifnya tidak dibendung. Amartya Sen mengenang kembali zaman kanak-kanaknya sekitar tahun 1940-an bagaimana perubahan sentimen berlaku dengan begitu pantas atas nama identiti. 

Kepelbagaian identiti di India khususnya melibatkan Muslim dan Hindu yang dihargai dari neraca kepelbagaian sekitar Januari, telah terubah sekelip mata kepada India yang digambarkan mempunyai komposisi Hindu yang kejam dan Muslim yang bengis pada Julai tahun yang sama. Lantaran, ratusan ribu telah dibunuh di tangan mereka yang mendakwa melakukan kerja tersebut “mewakili orang lain dari identiti yang sama”.

Justeru, dalam memberi fokus kepada identiti agama-bangsa, ia harus berkisar kepada sesuatu yang memberi pemberdayaan dan bukan ke sudut ekstrem hingga merosakkan dan membunuh kepelbagaian. Bagi menyeimbang penggunaan identiti kaum dan agama, masyarakat harus turut menggarap kepelbagaian identiti lain. 

Ini yang cuba dinukilkan oleh Amartya Sen sebagai “the power of competing identities”. Ia membawa kepada sarwa pandang bagaimana masyarakat berupaya untuk mencerminkan dirinya sebagai satu identiti yang lebih luas merentas agama dan kaum. Ini termasuklah identiti asal usul kelahiran, profesion pekerjaan, jantina, kelas masyarakat, fahaman politik, tabiat pemakanan, kecenderungan bidang sukan, kesukaan sesuatu muzik serta komitmen dalam bidang program kemasyarakatan.

Dalam rangka yang lebih besar, kita harus turut melihat diri kita sebagai sebuah identiti yang berlandaskan negara dan kewarganegaraan seperti identiti Bangsa Malaysia yang mampu meraih keyakinan untuk bersama bergerak ke hadapan atas panji negara. 

Namun, perlu sentiasa dipertegaskan, kita sentiasa mendukung agenda mengangkat identiti agama dan bangsa sebagai suatu anugerah yang wajib dipertahankan, namun kita tidak harus keterlaluan berpegang kepada identiti tersebut hingga membawa kepada watak ekstrim yang memecahkan anggota masyarakat seperti yang dinukil Amartya Sen.

Oleh yang demikian, atas faktor itu, Abim menanggapi identiti Bangsa Malaysia sebagai salah satu ‘competing identities” untuk menyederhanakan identiti agama dan kaum supaya tidak terjerumus ke kancah yang melampaui batas. Maka, bila bicara soal identiti Bangsa Malaysia ia bukan satu proses asimilasi yang mencairkan kebudayaan sesuatu bangsa tetapi integrasi untuk kita bersama membentuk watak-watak yang punyai ciri kebersamaan semua bangsa yang mendiami negara bertuah ini.

Watak dan nilai penyatuan atas nama Bangsa Malaysia yang harus disepakati antaranya termasuklah kebersamaaan memusuhi kemiskinan, rasuah dan permusuhan serta mengangkat masyarakat menjadi satu bangsa yang bermaruah. Pembentukan ciri dan watak bersama ini atas nama integrasi adalah satu jalan tengah yang akan mengelakkan masyarakat dari jatuh ke gaung asimilasi mahupun terjerumus ke kancah segregasi perpecahan.

Maka, di sini perlu ada watak keterbukaan semua bangsa untuk berkongsi aspirasi yang sama demi menuntaskan penjelmaan konsep Bangsa Malaysia. Watak keterbukaan sebenarnya adalah satu watak yang menjadi citra umat Melayu sewaktu era awal pembinaan masyarakat bertamadun dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembinaan peradaban.

Prof Dr Syed Khairudin Al-Junied dalam karyanya Muslim Cosmopolitanism: Southeast Asian Islam In Comparative Perspective membahaskan ciri kosmopolitan Muslim di Asia Tenggara dengan butiran yang segar yang dipacu oleh komuniti Muslim Asia Tenggara:

“Muslim cosmopolitanism in Southeast Asia is a style of thought, a habit of seeing the world and a way of living that is rooted in the central tenet of Islam, which is that everyone is part of a common humanity accountable to God and that we are morally responsible towards one another. To embrace Muslim cosmopolitanism is to exhibit a high degree of receptiveness to universal values that are embedded within one’s own customs and tradition (adat). Internalizing Muslim cosmopolitanism enables a person to be at ease with his or her own Islamic cultural identities, promoting these identities as a means to enrich public understanding about Islam and Muslims while maintaining and embracing a tolerant attitude towards people of other backgrounds.”

Ini termasuklah yang ditegaskan Anwar Ibrahim dalam “Gelombang Kebangkitan Asia” bagaimana kaedah penyebaran Islam di rantau ini yang penuh keunikan dan rekayasa kreativiti berjaya membentuk sebuah komuniti Muslim Asia Tenggara dengan citra kosmopolitan yang jauh dari bibit dendam dan kesumat permusuhan.

Penekanan kepada konsep kosmopolitan Islam yang menyarung ciri kesejagatan dan keterbukaan ini seharusnya merakamkan satu kesedaran yang lebih bermakna bagaimana pembinaan ketamadunan itu berasaskan kepada interaksi sejarah dan perhubungan antara peradaban dunia sejagat. Malah, sejarah tamadun Islam telah mengakui bahawa kita belajar dari Tamadun India dalam bidang matematik & falak, Tamadun Greek berkaitan ilmu logik, dan Tamadun Parsi berhubung organisasi pentadbiran.

Empayar Melayu Melaka sebagai contoh telah muncul akibat dari interaksi bersama kegemilangan di sekelilingnya dan yang mendahuluinya. Hasil interkasi dan keterbukaan ini telah memangkinkan lagi jolokan Asia Tenggara sebagai empayar maritim dan emporium perdagangan global “thalassocracy”.

Malah pada zaman itu, prestij Islam telah diangkat sebagai alat budaya kosmopolitan yang sangat tinggi di Asia Tenggara apabila kota-kota komersil di alam Melayu telah mewujudkan satu jalinan interaksi untuk membentuk satu pusat perdagangan yang lebih berdaya.

Tidak ketinggalan, citra kosmopolitan turut diambil oleh umat Islam di rantau lain yang akhirnya dapat merancakkan penyebaran Islam ke pelusuk dunia. Mashall Hodgson mengupas kosmopolitan Islam ini sebagai satu proses menyemarak penyebaran Islam ke pelusuk dunia. 

Menurut beliau, Islam timbul di Zon Kering Tengah dan mengambil bentuk kosmopolitan aneh yang memberikan agama ini kekuatan luar biasa terutamanya di sepanjang jalan perdagangan dan daerah baharu.

Lantas, Islam cepat tersebar ke Eurasia Tengah dan Afrika, dan sampai ke Benggala, Yunan, Albania, Keralam (barat daya India) dan Malaysia kerana kawasan komersil ini bergantung pada pusat kosmopolitan.

Lebih utama, penyebaran budaya bandar seterusnya membawa kepada peradaban menerusi pembentukan Islam kosmopolitan ini telah memangkinkan lagi perdagangan di jalan laut yang berjarak jauh. Maka, satu rangkaian lautan besar membentuk jalan perdagangan jarak jauh telah dikomersilkan yang diberi jolokan “Laut Tujuh” yang meliputi Laut China Timur dari Jepun ke Selatan, Laut China Selatan hingga ke Selat Melaka, Teluk Benggala, Laut Arab, Laut Merah, Laut Mediterranean dan Laut Timur-laut Atlantik ke utara hingga ke Britain.

Di sini Abim senantiasa tegaskan bahawa bilamana kita bicara soal keterbukaan dan kesejagatan bangsa ia adalah sesuatu pendekatan yang bersifat untuk menjayakan bukan sebaliknya yang sering disalah tanggapi seperti mengancam identiti kaum.

Lebih utama, ciri-ciri umat kosmopolitan yang ditegaskan tidak bermakna mereka mengorbankan prinsip-prinsip dan ajaran dasar agama semata-mata melayani ragam zaman dengan mengorbankan ajaran pokok Islam.

Atas kesedaran ini, umat rantau ini harus mengangkat kembali citra masyarakat sederhana yang terbuka, inklusif dan sejagat yang dirangkum sebagai umat kosmopolitan yang melonjakkan pembinaan tamadun lampau.

Menerusi pengembalian semula citra umat kosmopolitan ini, ia berupaya untuk menambahkan lagi keyakinan bangsa untuk memasakkan nilai perpaduan bersama kaum lain yang berdiri atas paksi nilai Bangsa Malaysia. Sebaliknya, tohmahan yang bersifat emosi atas sandaran sentimen sempit seperti penanaman rasa takut bangsa – inferiority complex serta ancaman survival bangsa akan merencatkan pemberdayaan dan keyakinan umat untuk bangkit membina kesepakatan dan seterusnya membangun semula sebuah peradaban yang hebat di rantau ini.

Oleh yang demikian, bagi para penggerak masyarakat yang punya kesedaran harus merangka strategi untuk berusaha menjadi ‘creative individuals’ yang secara serius merangka gerak kerja ke arah pembangunan masyarakat yang lebih baik. Citra Islam dalam peradaban manusia wajar ditampilkan dengan pengembalian imej kaum Muslimin sebagai umat berbudaya dan beradab, melalui kerangka peradaban yang semakin malap iaitu ‘kosmopolitan Islam’.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ  ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.