Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk Besut cemas air pasang besar luar biasa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kejadian air laut pasang besar sehingga menyebabkan banjir menimbulkan situasi cemas dalam kalangan penduduk Kampung Pantai dan Kampung Pengkalan Atap dekat Kuala Besut di Besut, malam tadi.

Seorang daripada mangsa di Kampung Pengkalan Atap, Abdul Razak Mohd Zaid, 31, berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, menyebabkan penghuni lapan rumah berhampiran pantai berasa cemas apabila ombak besar menghempas bahagian belakang rumah masing-masing.

“Kejadian itu mengakibatkan limpahan air laut bukan sahaja memasuki rumah kami tetapi melimpah sehingga ke jalan raya kira-kira 50 meter di hadapan rumah,” katanya kepada Bernama.

Abdul Razak berkata kejadian tersebut menyebabkan penduduk yang tidak sempat melakukan persiapan awal menanggung kerugian apabila barangan rumah mereka seperti perkakas elektrik rosak.

“Saya terpaksa meletakkan guni pasir di belakang pintu dapur untuk mengelak pintu tercabut dibadai ombak,” katanya.

Sementara itu seorang lagi penduduk di kampung yang sama, Mohd Napi Sulong, 56, berkata kejadian tersebut adalah yang terburuk sepanjang tahun ini dan keadaan itu hampir sama dengan apa yang berlaku pada 2014.

“Saya tahu fenomena air pasang besar ini adalah kebiasaan yang berlaku setiap kali musim tengkujuh namun tidak sangka ia seteruk ini,” katanya.

Ekoran kejadian itu seramai 36 mangsa membabitkan sembilan keluarga dari kedua-dua kampung tersebut telah dipindahkan ke Balai Raya Kampung Pantai di Kuala Besut, tengah malam tadi.

Meskipun fenomena air pasang besar telah reda sejak awal pagi tadi, namun rata-rata penduduk masih bimbang untuk pulang ke rumah masing-masing hari ini kerana dijangka kejadian yang sama akan berlaku lagi malam ini.

- Bernama