Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerakyatan Melayu: Cadangan Ku Li 'tak sesuai'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Beberapa pemimpin masyarakat India berpendapat cadangan pemimpin kanan Umno Tengku Razaleigh Tengku Hamzah untuk memberikan kerakyatan Melayu kepada semua warga negara Malaysia sebagai tidak sesuai.

Sebaliknya, mereka mencadangkan istilah kerakyatan Malaysia (Malaysian) lebih sesuai berbanding Melayu.

"Melayu adalah satu bangsa memang telah wujud. Jadi, tidak ada keperluan memberikan kerakyatan Melayu kepada yang bukan Melayu di negara ini.

"Sepatutnya, kerakyatan Malaysia kepada semua lebih sesuai," kata Naib Presiden MIC T Mohan.

Ahli Dewan Negara itu berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Tengku Razaleigh yang diperjuangkan tokoh politik kiri Dr Burhanuddin al-Helmy sebelum kemerdekaan.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil sebagai Ku Li menyuarakan agar idea itu dihidupkan semula minggu lalu.

Bagaimanapun, ia berdepan kritikan di media sosial, terutamanya berkenaan hak keistimewaan dan status bumiputera.

Cadangan kerakyatan Melayu untuk semua kaum itu terkandung dalam Perlembagaan Rakyat 1947 yang digagas oleh gabungan Putera-AMCJA yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada Inggeris.

Untuk rekod, Malaysia hanya dbentuk kemudian pada 1963 dengan gabungan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Mohan berkata masyarakat Melayu sendiri tidak akan menerima cadangan kerakyatan Melayu kepada semua.

"Pada pandangan saya, buat masa ini toleransi antara kaum bertambah baik. Cuma beberapa individu rasis sahaja cuba mencetuskan isu perkauman.

"Agama boleh ditukar. Bagaimana nak tukar bangsa? Tidak ada logik. Ia tidak berbunyi seperti perpaduan.

"Saya tidak faham cadangan dia. Sekadar politik ia boleh dibincang, tapi ia susah dilaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Adun Sungkai A Sivanesan (gambar, bawah) berkata cadangan kerakyatan Melayu itu sangat rumit.

"Melayu adalah sebuah bangsa telah wujud beratus tahun. Sukar untuk bersekutu.

"Seperti di Indonesia, semua rakyat Indonesia dipanggil sebagai Indonesian, tetapi masih mengekalkan identiti etnik masing-masing.

"Jadi, di Malaysia ia sangat rumit. Ku Li tidak patut mencadangkan isu ini, sebab pelaksanaanya tidak pratikal," katanya.

"Di Malaysia, semua adalah sama di hadapan undang-undang. Tetapi, ia berbeza dari segi polisi. Adakah Melayu sedia menerima cadangan Ku Li," soalnya.

Menurut naib pengerusi DAP Perak itu lagi bahawa istilah kerakyatan Malaysia kepada semua lebih sesuai.

"Ketika era 1960an atau 1970an, masyarakat India dan Cina di Malaysia masih mempunyai hubungannya di negara asal. Sekarang sudah tidak lagi.

"Kami lebih bangga dipanggil sebagai Malaysian kemudian India Malaysia," katanya.

Untuk rekod, Burhanuddin, pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) - parti politik Melayu pertama selepas perang dunia kedua yang menuntut kemerdekaan - menubuhkan gabungan sayap pertubuhan berideologi kiri, Pusat Tenaga Rakyat (Putera).

Gabungan Putera bersama Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) menggagaskan Perlembagaan Rakyat pada 1947 yang mengandungi 10 prinsip teras bagi menggantikan Malayan Union yang menimbulkan kontroversi hebat di Tanah Melayu pada tahun 1946.

Gabungan ini menggabungkan banyak pertubuhan dan parti politik kiri termasuklah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Kesatuan Demokratik Malaya (MDU).

Untuk rekod, MIC menjadi sebahagian daripada gabungan Putera-AMCJA sebelum pengisytiharan darurat pada 1948.

Sementara itu, Tan Cheng Lock juga salah seorang pemimpin AMCJA dan kemudiannya mengasaskan MCA pada Feb 1949.

Prinsip keenam Perlembagaan Rakyat menggariskan bahawa: Kerakyatan yang serata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap dan sanggup mencurahkan kesetiaannya tanpa berbelah bagi.

Prinsip kesembilan pula berbunyi: Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perpaduan Hindu Malaysia (Maha) A Rajaretinam bersetuju bahawa istilah kerakyatan Malaysia lebih sesuai dari kerakyatan Melayu.

"Kita sebenarnya tidak perlukan lagi ruang etnik, kaum atau ras dalam dokumentasi kita.

"Kita semua satu bangsa dengan pelbagai bahasa, budaya, adat, agama dan cara hidup berbeza-beza tapi kita adalah warganegara Malaysia.

"Ruang etnik, kaum atau ras dalam dokumentasi kita sebenarnya menghalang perpaduan dan integrasi," katanya.

Tambahnya, demi perpaduan, kerajaan perlu mengubah suai dokumentasi negara dengan mengekalkan kolum warganegara sahaja.