Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | 'Kejar fatamorgana gabungan besar, PH terbiar gerhana'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Dalam seminggu dua ini ramai orang terutamanya di kalangan pembangkang membincangkan soal membina grand coalition atau gabungan perdana.

Apakah gabungan perdana pembangkang sekarang begitu penting sehingga jika tidak dapat dibina maka parti-parti pembangkang tidak boleh begerak ke mana-mana?

Bagi saya gabungan perdana itu tidak penting. Jadi, apakah yang penting sekarang?

Paling penting status quo front pembangkang sekarang yang berdaftar dengan ROS secara rasmi; Pakatan Harapan (PH) yang diiktiraf dari segi hukum dan undang-undang terdiri daripada tiga buah parti (PKR, DAP dan Amanah).

Jadi bagi saya, kita tumpukan di mana kekuatan yang kita ada sekarang. Jangan dikejar tak dapat; yang dikindung berciciran.

Mengejar gabungan perdana ibarat mengejar fatamorgana (khalayan); PH yang sudah ada dibiarkan layu dan gerhana.

Lalu, kita tumpukan di mana kita bertapak sekarang. Tiga parti dalam PH ini mempunyai sejarah lama bekerjasama dalam front pembangkang sejak Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah ke Pakatan Harapan.

Apa punca kematian jasad k'jaan PH?

Dua parti tunggak PH sejak dulu di kalangan front pembangkang ialah PKR dan DAP. Walaupun Amanah secara rasminya parti yang baru muncul sebelum PRU ke-14 tahun 2018, namun para pemimpin dan aktivis Amanah sekarang adalah pemimpin dan aktivis politik sejak dalam PAS lagi pada era Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Apa yang PH perlu lakukan sekarang ialah membuat post-mortem kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan sejak Mei 2018 sehinggalah Februari 2020, sama seperti para doktor membedah mayat yang telah mati. Cari punca kematian jasad tersebut.

Dengan analisis dan diagnosis yang teliti, kita cari di mana kejayaan Kerajaan PH; di mana kegagalannya. Kenali apa yang positif dalam pemerintahan PH; dan apa pula yang negatif.

Temui secara jujur dasar-dasar yang disokong rakyat dan dasar-dasar yang ditolak rakyat.Secara jujur periksa kualiti kabinet yang menerajui kerajaan PH sepanjang hampir dua tahun pentadbiraannya itu.

PH perlu lihat semula common platform yang telah dipersetujui dari segi rangka dan isinya. Perlu ditambah dan dikemaskini. PH sudah ada perlembagaannya dan struktur organisasi yang jelas dari peringkat tertinggi Majlis Presiden PH sehinggalah jawatankuasa peringkat parlimen PH.

Perkara yang perlu dilakukan adalah kita tekan butang yang betul iaitu “button on” bukannya “button pause”.

Jadi bagaimana dengan parti Warisan dan Pejuang? Di mana peranan mereka? Persoalan ini bukanlah satu isu yang besar. Tidak rumit sebenarnya.

Kalau benar mereka berada di saf pembangkang dan jujur untuk menentang gabungan Perikatan Nasional (PN), maka Warisan yang ada lapan, sembilan kerusi itu dan Pejuang yang ada empat kerusi itu, tetap ada fungsi dan peranan mereka.

PH sebagai satu unit gabungan politik yang rasmi boleh mengadakan persefahaman pilihan raya (electoral understanding) dengan Warisan dan juga Pejuang bagi menghadapi Ppilihan raya umum ke-15 akan datang.

Apakah tujuannya persefahaman pilihan raya itu?

Objektif utamanya ialah untuk memastikan semua kerusi pilihan raya sama ada parlimen ataupun DUN di seluruh negara ditandingi. Kedua, untuk mengelakkan pertemuan tiga penjuru atau banyak penjuru - bertarung sesama sendiri di kalangan parti-parti pembangkang.

Kerjasama dalam bentuk persefahaman pilihan raya bukannya sesuatu yang baru. Ada duluan atau precedent yang pernah berlaku.

Seawal pilihan raya umum tahun 1986, kerjasama persefahaman pilihan raya pernah wujud di kalangan front parti-parti pembangkang, antaranya di kalangan PAS, Parti Rakyat (PRM) dan Nasma di dalam satu kerjasama longgar yang dipanggil Harakah Keadilan di mana DAP memilih untuk berada di luar persefahaman tersebut.

Pada pilihan raya umum 1990 tidak wujud lagi gabungan pembangkang berdaftar yang rasmi seperti PH sekarang ini. 

Kerjasama persefahaman pilihan raya

Ketika itu gabungan yang wujud ialah Gagasan yang merupakan kerjasama persefahaman pilihanraya di antara Parti Semangat 46, DAP, Parti Rakyat (PRM), IPF dan PBS di satu front manakala Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan secara tidak rasmi antara Semangat 46, PAS, Hamim dan Berjasa.

Bagi dua blok iaitu Gagasan dan Angkatan Perpaduan Ummah itu, mereka bekerjasama mencapai persefahaman pilihan raya. Hasilnya yang nyata ialah kerajaan Barisan Nasional di Kelantan tumbang pada pilihan raya 1990 itu dan suara ahli parlimen pembangkang bertambah di Dewan Rakyat.

Pilihan raya paling dekat di mana parti-parti pembangkang mengadakan kerjasama persefahaman pilihanraya ialah dalam PRU tahun 1999 dan PRU ke-12 pada tahun 2008.

Gabungan Barisan Alternatif walaupun tidak berdaftar tetapi menjadi de facto front pembangkang hasil kerjasama semasa pilihanraya umum tahun 1999 yang melihat kerajaan BN tumbang di Kelantan dan di Trengganu.

Sementara itu, Pakatan Rakyat sebagai gabungan pembangkang tidak wujud secara rasmi sebelum Pilihanraya Umum tahun 2008.

Hanya persefahaman pilihan raya sahaja di kalangan parti-parti pembangkang dalam pilihan raya umum ke-12 itu. Bagaimanapun hasilnya menakjubkan.

BN tewas di Kelantan, Trengganu, Kedah, Perak dan Selangor. Di Dewan Rakyat buat pertama kali Kerajaan BN hilang majoriti dua pertiga.

Apa yang ingin saya jelaskan di sini ialah supaya pimpinan tertinggi PH tidak sibuk-sibuk untuk membina gabungan perdana yang gah dan indah dalam namanya sahaja tetapi lopong dan rapuh dalam rangka, struktur serta substance.

Saya mencadangkan memadailah dengan PH sebagai satu unit bersatu dan padu gabungan rasmi front pembangkang mengadakan kerjasama longgar dalam bentuk persefahaman pilihan raya sahaja dengan Warisan, Pejuang dan parti-parti politik lain yang ada di Malaysia seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) ataupun Malaysian United Democratic Alliance (Muda) pimpinan Syed Saddiq.


HASSAN KARIM ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.