Skip to main
Logo Malaysiakini

Suara mahukan Umno direformasi dah tak kedengaran, kata Khaled

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pemimpin kanan Umno menyatakan rasa "cemas" apabila melihat proses pembaharuan dalam parti itu didakwanya kini tidak lagi berjalan seperti yang sepatutnya.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata keadaan itu berlau sebaik saja ahli-ahli parlimen parti berkenaan memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Yang lebih mencemaskan saya ialah jika kita tak lakukan apa-apa terhadap usaha pembaharuan kepada parti kita.

"Lihat saja semenjak Umno mendukung PN, islah dan pembaharuan Umno kurang kedengaran seolah-olah masalah sebenar Umno yang menyebabkan kita kalah (dalam PRU lalu) telah selesai sebaik sahaja menjadi kerajaan.

"Tiada siapa lagi yang bercakap tentang usaha reformasi Umno seolah-olah Umno ini terus sempurna," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Umno Pasir Gudang di Johro Bahru hari ini.

Ia turut disiarkan secara langsung melalui media sosial.

Menurut bekas menteri besar Johor itu lagi untuk menguasai semula kerajaan Umno mesti melakukan pembaharuan dan memaparkan keunggulan baru.

Pun begitu Khaled mengakui usaha itu akan berdepan dengan pelbagai hambatan disebabkan keadaan Umno yang besar dan membawa pelbagai kekangan seperti budaya pemikiran ahlinya.

"Seperti padi hampa, semakin lama semakin mendongak," katanya.

"Saya takkan jemu untuk menyeru kepada islah ini. Islah itu jalan pembaikan yang mesti berlaku kerana desakan persekitaran semakin berubah.

"Umno tidak boleh terus changeless (tidak berubah) dan directionless (tanpa haluan), sebegini. Tanpa islah, umno akan menjadi parti yang pasti luput dek zaman," katanya.