Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu teksi fail tuntutan RM100 juta terhadap Grabcar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gabungan pemandu teksi mengemukakan tuntutan ganti rugi sebanyak RM100 juta terhadap Grabcar kerana didakwa menjalankan perkhidmatan e-hailing haram dari 2014 hingga 2017.

Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Malaysia mengemukakan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Disember tahun lalu.

Tindakan undang-undang tersebut menyenaraikan 15 pemandu teksi sebagai plaintif yang mewakili pertubuhan itu, dan Grabcar Sdn Bhd sebagai defendan tunggal.

Menurut salinan pernyataan tuntutan yang dilihat Malaysiakini, plantif mendakwa perkhidmatan e-hailing Grabcar, dari 16 Mei 2014 hingga 27 Julai 2017, telah melanggar Akta Pengangkutan 2012, Akta Persaingan 2010, dan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa Grabcar melanggar peruntukan Akta Pengangkutan antaranya dengan "menjalankan perniagaan pengangkutan awam serta bersaing dengan teksi dan kereta sewa yang telah diiktiraf oleh Kementerian Pengangkuta Jalan dan Kerajaan Malaysia".

Mereka juga mendakwa defendan tidak diberi pengecualian di bawah Akta Persaingan untuk melaksanakan perkhidmatan e-hailing dalam tempoh tersebut.

"Defendan telah salah guna kedudukannya dalam industri perkhidmatan di bawah Seksyen 10 Akta Persaingan 2010. Defendan telah melakukan perdagangan tidak adil.

“Defendan telah memudaratkan mata pencarian, pendapatan, hak dan kepentingan pemandu teksi.

"Tindakan defendan telah memudaratkan persaingan dan berkelakuan seakan pemangsa terhadap pesaing."

Gabungan itu juga mendakwa Grabcar beroperasi tanpa lesen dari 16 Mei 2014 hingga 27 Julai 2017 dan didakwa melanggar Akta Kontrak 1950.

Disebabkan itu, kata mereka lagi, hasil daripada keuntungan yang diterima melalui perkhidmatan e-hailing dalam tempoh itu harus dikembalikan ke gabungan sebagai wang ganti rugi kepada plantif.

Melalui tuntutan undang-undang tersebut, gabungan itu antara lain meminta ganti rugi bernilai RM100 juta, serta ganti rugi am, buruk, teladan dan hukuman.

Mereka juga meminta perisytiharan bahawa perkhidmatan e-hailing Grabcar melanggar peruntukan Akta Pengangkutan, Akta Persaingan, dan Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga menuntut kos dan apa-apa ganti rugi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menurut memorandum tuntutan yang diajukan pada 21 Disember tahun lalu, Grabcar diwakili oleh firma guaman Tetuan Rahmat Lim & Partners.

Plaintif diwakili oleh firma guaman Tetuan R Kengadharan & Co.

Ketika dihubungi Malasysiakini hari ini, peguam R Kengadharan berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan Grabcar untuk mengemukakan pernyataan pertahanan pada 14 Januari.

Dia berkata arahan itu dikeluarkan susulan e-semakan (dalam talian) pengurusan kes oleh pendaftar mahkamah hari ini.

Mahkamah juga mengarahkan gabungan teksi untuk mengemukakan apa-apa maklum balas ke atas pernyataan pertahanan selewat-lewatnya 28 Januari, katanya lagi.

Katanya lagi, pengurusan kes seterusnya adalah pada 11 Februari.

Peguam Kwong Chiew Ee mewakili Grabcar dalam pengurusan kes hari ini.

[Baca berita asal]