Skip to main
Logo Malaysiakini

Maut di jalan berlubang: Dah 9 kali baiki Jalan Tengah - DBKL

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pihaknya telah melakukan banyak pembaikan jalan, tempat kejadian seorang warga emas meninggal dunia pada 3 Jan selepas motosikalnya hilang kawalan akibat melalui jalan berlubang.

"Lokasi kejadian kemalangan tersebut sentiasa dipantau dan sebenarnya tindakan selenggara telah diambil oleh Pasukan Public Service Delivery Transformation (PSDT) DBKL sebanyak 9 kali semenjak bulan September 2020.

"Kali terakhir permukaan jalan tersebut diselenggara (diturap) adalah pada 26 Disember 2020.

DBKL berkata telah melantik perunding untuk menyiasat punca kerosakan yang berterusan di Jalan Tengah.

DBKL turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga warga emas yang terkorban dalam kemalangan itu.

Ho Yan Yee, 75, maut di Jalan Tengah menuju ke arah Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa penunggang motosikal itu melalui jalan berlubang, menyebabkan mangsa jatuh," kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) Zulkefly Yahya seperti dipetik dalam laporan itu.

DBKL, dalam kenyataannya, berkata pihaknya melakukan pemeriksaan berkala dan akan segera memperbaiki kerosakan jalan raya.

Kerajaan tempatan itu juga mendesak masyarakat untuk melaporkan jalan berlubang kepada DBKL melalui pelbagai saluran.

"Antaranya melalui laman web aduan ISPAAA, Hotline DBKL (Call Centre), Biro Pengaduan Awam, Aplikasi i-Tegur (KPKT), Emel, Whatsapp, telefon, bersurat selain aduan bersemuka melalui Pejabat-Pejabat Cawangan DBKL," katanya.

DBKL juga berkata telah merekodkan sejumlah 11,979 jalan berlubang pada 2020 dan semuanya telah diperbaiki.

"Sebanyak 7,735 kes dikesan melalui rondaan proaktif DBKL sendiri manakala 4,244 kes adalah melalui aduan daripada awam," jelasnya.