Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda persoal 'skandal Tajuddin', anak Tajuddin datang jawab

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sidang media parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berhubung kontroversi membabitkan Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman, menerima kejutan apabila anak Tajuddin sendiri, Dr Faizal Tajuddin turut hadir bersama.

Bukan sekadar hadir, malah Faizal menjawab sendiri beberapa pertikaian dibangkitkan Muda dalam sidang media yang diadakan tengah hari tadi.

Sidang media yang diadakan di luar bangunan LRT Dang Wangi, betul-betul berhadapan tapak pembinaan bangunan perdagangan oleh syarikat dikaitkan dengan keluarga Tajuddin, adalah untuk mempersoalkan beberapa hal yang menurut Muda, tak dijawab dengan baik dalam sidang media Tajuddin semalam.

Datang berpakaian dan berpayung hitam di bawah panas terik, antara isu utama yang dibangkitkan Muda, menerusi pengasas bersamanya Amir Abdul Hadi ialah konflik kepentingan mengenai keberadaan Tajuddin dalam mesyuarat yang membincangkan mengenai pembatalan projek berkenaan yang dikatakan mungkin membabitkan pampasan kira-kira RM80 juta.

Kata Muda, mereka didatangi "beberapa individu" yang memberikan mereka beberapa dokumen, termasuk minit mesyuarat yang dimaksudkan.

Bahkan, Muda turut berkongsi dokumen berkenaan kepada sesiapa yang mahu membacanya menerusi lawan web www.skandaltajuddin.com yang dibina parti itu sendiri.

Amir turut mempersoalkan mengenai cadangan pembinaan ibu pejabat Prasarana di lokasi pembinaan tersebut, dikatakan akan menelan kos RM500 juta, sedangkan katanya, satu projek pembangunan ibu pejabat Prasarana yang baru sudah pun dijalankan di Subang Depoh yang menelan kos hampir RM150 juta.

“Apa yang akan berlaku kepada pejabat di Subang Depoh, dan berapa banyak kos tambahan diperlukan untuk menukar fungsi bangunan itu, kerana pembangunan sudah pun bermula, arkitek sudah dibayar, tanah sudah dipecah.

“[...] Kita nak tanya, dari mana RM500 juta ini akan didapatkan untuk membangunkan projek ini?” soalnya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Kementerian Kewangan telah memberi "persetujuan lisan" kepada Prasarana untuk berpindah ke bangunan baru daripada pejabatnya sekarang di Bangsar, atas sebab kawasan yang strategik iaitu dalam segi tiga emas Kuala Lumpur.

Ketika menerima mikrofon dalam sidang media tadi, Faizal mempertikaikan mengapa Muda tidak terus membuat laporan polis sekiranya yakin terdapat salah guna kuasa dalam kontroversi berkenaan.

"Tajuk tu sendiri, skandal Tajuddin sudah berniat jahat," katanya.

Malah tegasnya, tidak seperti dakwaan Muda, projek berkenaan tidak menggunakan wang kerajaan, sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu sendiri.

“Berapa banyak Prasarana dah bayar kepada kontraktor? Jawapannya kosong. Kosong duit dibayar oleh Prasarana kepada kontraktor,” katanya.

Dia turut menafikan projek itu hanya dapat disiapkan sebanyak 15 peratus selepas lapan tahun, kerana katanya, perintah kebenaran merancang (development order) hanya diberikan pada Nov 2014, pelan pembangunan siap pada Apr 2015, dan urusan tanah hanya siap selesai pada 2017.

Dalam tiga tahun projek itu berjalan, katanya, syarikat bergantung pada dana pemegang taruh dan penjualan unit, namun berdepan masalah unit tidak berjaya dijual kerana kegawatan ekonomi.

“Ini urusan keluarga. Saya kena jaga maruah keluarga saya,” katanya.

Semalam, Tajuddin berkata projek Latitud 8 di Dang Wangi yang berkaitan dengan keluarganya diberikan sebelum dia menjadi pengerusi Prasarana atau berada dalam kerajaan.

Katanya, projek itu diberikan kepada sebuah firma yang berkaitan dengan keluarganya pada 2012 melalui tender terbuka.

Projek itu dianugerahkan oleh Prasarana kepada Intan Sekitar Sdn Bhd, yang 51 peratus dimiliki oleh Crest Builder Holdings Bhd yang disenaraikan secara terbuka dan 49 peratus dimiliki oleh Detik Utuh Sdn Bhd.

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman

Keluarga Tajuddin memiliki pegangan 40 peratus dalam Detik Utuh Sdn Bhd melalui Tindakan Juara Sdn Bhd, memberikan mereka pegangan efektif sebanyak 19.6 peratus dalam projek tersebut.

Syarikat itu menjadi perhatian berikutan laporan bahawa lembaga pengarah Prasarana sedang mempertimbangkan untuk menghentikan projek tersebut dengan membayar pampasan sebanyak RM80 juta kepada Intan Sekitar Sdn Bhd.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah mengesahkan mereka sudah memulakan siasatan kes berkenaan dan sudah ke pejabat Prasarana Berhad sebagai sebahagian daripada siasatan.

Bercakap kepada media selepas itu, Faizal menjelaskan keluarganya tidak mempunyai masalah bagi membantu siasatan SPRM kerana tiada apa hendak disembunyikan dan ditakutkan.

Malah, dia turut memberi gambaran bahawa jika Tajuddin ingin menyalah guna kuasa, pastilah dia akan menyelamatkan syarikat milik keluargnya, tetapi apa yang Tajuddin lakukan adalah untuk menamatkan kontrak itu setelah berlaku kelewatan untuk berlaku adil.

Namun, untuk menamatkan kontrak, katanya, sudah pasti ada pampasan yang terlibat, dan jumlah RM87.7 juta itu hanyalah cadangan yang masih tertakluk kepada pemeriksaan dan pengesahan tertentu oleh pihak berkaitan.

Dia juga menyatakan kesediaan untuk mengatur pertemuan antara Tajuddin dengan Muda berkenaan kontroversi itu.

“Saya akan cakap terus dengan ayah saya selepas ini. Saya rasa dia lebih daripada sanggup untuk menjemput mereka dan adakan pertemuan profesional, daripada buat begini untuk sensasikan keadaan.

“Ini politik longkanglah,” katanya.

Sebelum pulang, Amir sempat memaklumkan kepada media bahawa Muda telah menerima satu surat peguam mewakili Tajuddin, berkenaan jemputan sidang media dengan tajuk “Sidang Media Muda berkenaan Skandal Tajuddin” yang dikatakan bersifat libel dan memfitnah Tajuddin.