Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwaan adu mahkamah hantaran FB Najib pasal Zeti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES 1MDB | Pihak pendakwaan mengemukakan aduan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenai hantaran Facebook Najib Razak mengenai tuduhan berkaitan 1MDB terhadap bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah mengenai ulasan bekas perdana menteri di dalam talian pada 29 Disember tahun lalu.

Hantaran Facebook itu mengandungi dakwaan terhadap Zeti dan ahli keluarganya berkaitan dengan dana 1MDB.

Pada 31 Disember, Zeti telah mengeluarkan kenyataan media menyangkal tuduhan tersebut.


BACA BERKAITAN: Tuduhan fitnah terhadap saya dan keluarga - Zeti


Ketika perbicaraan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion Najib hari ini, Sri Ram memberitahu mahkamah penyiaran di laman Facebook itu satu serangan terhadap Zeti, yang merupakan salah seorang saksi pendakwaan.

“Dia (Najib) nampaknya melakukan pembelaan melalui hantaran di Facebook. Kami mengambil ini sebagai pengecualian yang kuat kerana ini menyebabkan saksi menjawab (melalui kenyataan media).

"Perbicaraan perlu berlangsung di mahkamah pengadilan, bukan di ruang awam, sudah tentu bukan di media sosial.

"Menyedari bahawa dia adalah saksi, dia (Najib) sepatutnya tidak melakukan ini. Hal demikian meletakkan saksi (Zeti) dalam posisi yang sukar,” kata Sri Ram.

DPP itu berkata untuk mengelakkan perbicaraan utama daripada diketepikan, pihak pendakwaan bagaimanapun tidak berhasrat menggunakan permohonan membatalkan ikat jamin (terhadap Najib) atau mengajukan perintah komital (memasukkan dalam tahanan).

Jelasnya, pihak pendakwaan hanya meminta mahkamah mengeluarkan peringatan kepada tertuduh.

Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan mengapa anak guamnya menjadi sasaran ketika tuduhan itu pertama kali dikemukakan di dalam blog oleh blogger Raja Petra Kamaruddin dan juga dilaporkan oleh portal berita Free Malaysia Today.

Dia mendakwa tidak ada tindakan yang diambil oleh Peguam Negara mengenai tuduhan dalam talian itu.

"Tidak ada yang membuat bising dan peguam negara diam," kata Shafee.

Sequerah kemudian menetapkan hari Khamis untuk mendengar penghujahan lebih lanjut daripada pihak berkenaan mengenai perkara itu.

Prosiding hari ini disambung dengan saksi pendakwaan ke-10, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, memberi keterangan.

[Baca berita asal]