Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuduh gertak jururawat: Lokman Adam minta maaf, tak jadi ke mahkamah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas ahli Umno, Lokman Adam, memohon maaf kepada Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad kerana menuduh pemimpin PKR itu menggertak jururawat berhubung kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Berkongsi perkara itu di Facebook, kata Lokman, setelah mendapat penjelasan daripada Amin, dia menarik balik kenyataannya sebelum ini yang menuduh Amin menggertak jururawat berkenaan, Cik Miera - atau nama sebenarnya Siti Syafika Amira Mohd Rasnani.

Lokman berkata dia berjumpa Amin, ditemani peguamnya hari ini, bagi menyelesaikan isu notis tuntutan yang telah diserahkan kepadanya sebelum ini oleh pihak Amin.

“Saya ingin memohon maaf dan menarik balik kenyataan saya sebelum ini yang menuduh YB Amin telah menggertak Cik Miera untuk memberikan kenyataan beliau di dalam inkues (kematian Adin) yang menyebabkan Cik Miera ketakutan dan memadam posting Facebook beliau.

“Setelah mendengar dan berbincang semula dengan beliau, saya memahami berlaku salah tanggapan di pihak saya yang menganggap YB Amin bertujuan mengubah kenyataan Cik Miera.

“Sebaliknya, YB Amin memperjelaskan bahawa beliau bertujuan membantu agar Cik Miera untuk mengemukakan bukti dan keterangan sebenar di dalam inkues Adib sebelum (ini).

“Kami telah berbincang dan bersetuju untuk tidak memanjangkan pertikaian ini ke mahkamah,” katanya di Facebook.

Tambah Lokman lagi, mereka berdua berharap kerajaan mengambil tindakan segera bagi memberikan keadilan keluarga Adib, dan bersetuju agar kematian Adib mesti diselesaikan secara adil tanpa campur tangan tidak wajar terhadap proses undang-undang.

Dia turut berkongsi video memaparkan dia dan Amin duduk bersama dan bertukar-tukar senyuman, malah Amin turut ada berkongsi sedikit kata-kata di dalam video berkenaan.

“Saya bersedia untuk berjumpa dia (Lokman), dan hari ini, kita jumpa, saya nyatakan hasrat saya sebenarnya untuk meminta beliau memohon maaf atas dakwaan yang saya fikir bukan saja salah, tapi boleh menjadi fitnah kepada saya,” katanya.

Amin membuat laporan polis terhadap Lokman pada 2019 kerana dikatakan menfitnahnya, kononnya dia mengugut Cik Miera - jururawat di Institut Jantung Negara (IJN) - yang mendedahkan keadaan Muhammad Adib.

Individu yang dikenali sebagai Miera itu mendakwa anggota bomba itu sebenarnya dipukul, sekali gus menafikan keterangan pakar forensik dalam inkues yang menyatakan kecederaan dialaminya tidak menunjukkan seperti arwah dipukul.

Kata Amin, dia menghantar mesej kepada Miera sebenarnya untuk memintanya tampil sebagai saksi, bukannya menggertak gadis berkenaan.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan menghembuskan nafas akhir pada 17 Dis di IJN.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Sementara itu, kerajaan pula memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib, dan setakat ini, pihak Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini di peringkat akhir, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.