Skip to main
Logo Malaysiakini

PAC puas hati proses perolehan vaksin Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan rancangan perolehan vaksin oleh kerajaan dan akan meneliti perjanjian dengan pengeluar vaksin dengan mengimbangi peruntukan perjanjian tanpa pendedahan (NDA) di dalamnya.

Hal ini diputuskan selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hadir memberikan keterangan di hadapan PAC itu semalam.

“Secara keseluruhannya, PAC berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan yang diberikan oleh Khairy, Adham dan Noor Hisham dalam isu perolehan dan penggunaan vaksin Covid-19,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Wong Kah Woh, dalam satu kenyataan semalam.

Kerajaan sebelum ini berdepan kritikan atas sikap berahsia dalam urusan rundingan perolehan vaksin untuk kegunaan seluruh negara.

Perkara yang dipertikaikan termasuklah apakah kerajaan membayar harga yang terlalu mahal untuk bahan berkenaan.

Menurut Wong pada masa sama PAC juga mengambil maklum mengenai wujudnya NDA di antara kerajaan dengan syarikat pengeluar vaksin Covid-19. 

Pun begitu kata ahli parlimen Ipoh Timur berkenaan perjanjian tersebut tidak sewajarnya mengekang tugas dan peranan PAC melaksanakan tugas menyemak perbelanjaan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, dalam perkara ini, PAC akan mengimbangi antara peranan PAC dalam melaksanakan penelitian legislatif dengan peruntukan NDA dalam perjanjian komersial yang sedia ada untuk memastikan tidak berlakunya sebarang pelanggaran perjanjian,” katanya.

Tambahnya, PAC juga - buat pertama kali - akan mengadakan mesyuarat khas (exit conference) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan sebelum laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat bagi memastikan segala syarat perjanjian dipatuhi.

Sebelum ini, pendedahan dari Belgium menunjukkan negara Eropah membayar 12 euro (RM59.43) untuk setiap dos vaksin Covid-19 dikeluarkan Pfizer.

Mengulas hal berkenaan, Khairy memberi gambaran yang Malaysia mendapat tawaran lebih baik daripada itu. 

Kerajaan merancang untuk memvaksin sehingga 70 peratus rakyat Malaysia yang dewasa bagi mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19.

Bagaimanapun, Khairy berkata Malaysia mempunyai perjanjian vaksin yang mencukupi buat seluruh populasi orang dewasa. 

Selain Pfizer, Malaysia turut mendapatkan vaksin daripada AstraZenec, dan daripada Covid-19 Vaccines Global Access Facility (Covax).

Rundingan masih berjalan untuk memperoleh vaksin daripada syarikat seperti Sinovac.