Skip to main
Logo Malaysiakini

Mayat pelajar UMP ditemukan lepas 3 hari hanyut

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mayat pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) ditemukan selepas tiga hari hanyut di Sungai Puas Kampung Gintong, Jerantut, kira-kira 100 kilometer dari Kuantan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata mangsa, Ukai Iskandar Zulkarnain yang hanyut bersama bapanya Zulkarnain Hitam, 58, ditemukan kira-kira lima meter dari lokasi kejadian oleh orang awam sekitar 9 pagi tadi.

“Pengecaman mayat sudah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa dan jasad Ukai Iskandar kemudian dibawa ke Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, Mazlan berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan pada tengah hari tadi.

Ahad lepas, Ukai Iskandar, 23, dan bapanya Zulkarnain Hitam dihanyutkan arus deras ketika berjalan bersama dua adiknya untuk pulang ke rumah di Kampung Gintong kira-kira 10.30 malam selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

Zulkarnain yang juga kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut ditemukan lemas pada hari kejadian manakala dua anaknya berusia 13 dan 15 tahun berjaya diselamatkan orang awam.

- Bernama