'Tajuddin suka guna kata-kata seksis, kesat, kasar'
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata bahawa dirinya sentiasa cuba mengelak daripada berdepan dengan Tajuddin Abdul Rahman kerana ahli parlimen Pasir Salak itu sebagai tidak sensitif.
"Dia (Tajuddin) memang seorang yang suka bergurau dan tidak sensitif.
"Tidak pernah bimbang terhadap akibat daripada kata-katanya di mana suka menggunakan perkataan seksis, kesat, kasar dan tanpa berhati perut.
"Bagi kami pemimpin wanita, (kami) sentiasa cuba mengelak wakil rakyat seperti ini kerana kami akan menerima imej buruk sekiranya bergaduh dengannya," katanya pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Pemimpin DAP itu berkata demikian ketika peguamnya Sankara Nair meminta persepsinya terhadap Tajuddin.
Dia merupakan saksi pembelaan ketiga dalam perbicaraan kes saman Tajuddin terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.
Pada 22 Februari 2017, Tajuddin memfailkan saman terhadap Khalid kerana memanggilnya dengan istilah "sial" pada dua sidang media di lobi parlimen pada 21 dan 24 November 2016.
Tajuddin menyaman Khalid selepas dia menegaskan kembali kenyataan "sial" di Dewan Rakyat serta mempersoalkan kelakuan Tajuddin dalam sidang media di luar parlimen beberapa hari selepas pertelingkahan itu berlaku.
Perkataan itu diucapkan selepas Tajuddin menyebut Teresa Kok sebagai satu-satunya ahli parlimen wanita yang mempunyai 'Kok'.
Dalam bahasa slanga Inggeris, "cock" merujuk alat kelamin lelaki.
Kes saman itu turut melibatkan dua yang lain iaitu KiniTV Sdn Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Menjelaskan insiden tersebut, Teresa Kok mendakwa: "Tajuddin selaku timbalan menteri pertanian dan industri asas tani mengelak menjawab soalan, sebaliknya menyerang saya yang duduk di hadapannya.
"Bagi dia ini rasa lucu. Bagi saya ini kenyataan kasar dan seksis.
"Jadi, saya tiada pilihan dan terpaksa marah balik. Semua ahli parlimen pembangkang berdiri meminta dia tarik balik perkataan tersebut," katanya.
Pemimpin wanita DAP itu juga berkata tindakan Tajuddin menyindirnya dengan perkataan 'Kok' juga satu penghinaan terhadap keturunan Cina suku keluarga 'Kok' di negara ini.
"Mereka sangat marah dan berasa ini adalah satu penghinaan terhadap nenek moyang mereka," katanya.
Perbicaraan diadakan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar akan bersambung esok.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai