Skip to main
Logo Malaysiakini

Hubungan Umno-Bersatu: Suara akar umbi tak boleh diabai - Nazri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Umno tidak akan berpaling lagi dalam keputusannya untuk menamatkan kerjasamanya dengan Bersatu, menurut Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz.

Merujuk laporan berhubung dakwaan 189 daripada 191 bahagian Umno memutuskan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu, Nazri berkata parti tidak boleh mengabaikan suara akar umbi.

Terdahulu hari ini, Annuar Musa yang baru dipecat daripada jawatan setiausaha agung BN menyangkal angka itu dan mendakwa berdasarkan maklumat yang diterimanya, hanya 99 bahagian yang membuat keputusan itu.

Bagaimanapun, Nazri percaya bahawa tanda-tanda tamatnya hubungan antara dua parti itu begitu jelas.

"Anda tak boleh tolak kehendak akar umbi. Malah Majlis Tertinggi (MT) pun tak boleh tolak. MT wujud kerana akar umbi," katanya kepada Malaysiakini.

MT Umno akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan usul menolak kerjasama dengan Bersatu. Nazri bukan ahli MT.

Difahamkan ada kumpulan dan majlis itu yang mahu meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Nazri juga menolak pandangan bahawa akar umbi Umno membuat keputusan melulu dan mendakwa mereka menerima kesan susulan tindakan Bersatu yang didakwa mengenepikan Umno dalam kerajaan.

Antaranya berhubung pelantikan ketua kampung dan pengagihan dana, yang didakwanya lebih memihak kepada anggota Bersatu.

'Pemimpin berkepentingan tak boleh pakai'

Katanya, pandangan pemimpin yang mempunyai kepentingan peribadi yang tak boleh diterima.

"Pemimpin ada banyak perkara yang perlu difikirkan - jawatan, wang, apa yang mereka mahu. (Mereka) ini tak boleh pakai."

Bagaimanapun, Nazri berkata keputusan untuk menamatkan hubungan dengan Bersatu tidak boleh terus dilaksanakan malam ini dan perlu melalui Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari ini.

Sementara itu, dia juga yakin MT tidak akan membuat keputusan untuk berpihak kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Kami masih mengekalkan keputusan parti, 'No Anwar, no DAP'," katanya.

Dia mengulas dakwaan Annuar yang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mahu membentuk kerjasama dengan Anwar.

Dia tidak menafikan ada perbincangan dengan ahli Parlimen Port Dickson itu tetapi berkata ia hanyalah sebahagian daripada proses.

"Selagi ia tidak jadi kenyataan, tiada apa yang perlu diperkatakan," katanya lagi.

Kata Nazri lagi, Bersatu juga ada membuat perbincangan berhubung persetujuan keyakinan dan pembekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA) dengan PKR dan DAP dalam usaha mendapatkan sokongan untuk Belanjawan 2021.

"Mengapa Bunga (Bersatu) boleh buat, kita tak boleh buat?" soalnya.