Skip to main
Logo Malaysiakini

148 kemalangan maut akibat keadaan jalan di S'gor sejak 2018

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebanyak 223 kemalangan berpunca daripada pelbagai keadaan fizikal jalan raya termasuk berlubang dan rosak akibat pembinaan direkodkan di Selangor sejak 2018 hingga tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Supt Azman Shari'at berkata daripada jumlah itu, sebanyak 148 kes adalah kemalangan maut, kecederaan parah (34 kes), cedera ringan (37 kes) dan tiada kecederaan (empat kes).

Dia berkata kebanyakan kes kemalangan akibat fizikal jalan raya yang direkodkan berlaku di jalan negeri dan jalan bandaran.

“Penunggang motosikal adalah mangsa kemalangan maut akibat keadaan fizikal jalan raya tertinggi iaitu 116 kes diikuti pemandu dan penumpang kereta (26 kes), pemandu dan kelindan lori (enam kes) serta pemandu dan penumpang van (satu kes).

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan jumlah kemalangan itu akibat kecuaian pengguna jalan raya sendiri antaranya memandu melebihi had laju bukan semata-mata keadaan fizikal jalan raya sahaja,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, Azman berkata sebanyak 123,244 kes kemalangan direkodkan sepanjang tahun lepas di Selangor membabitkan 764 kemalangan maut dengan 805 kematian.

Sementara itu, mengenai aktiviti berbasikal di Selangor, Azman berkata polis sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan penunggang basikal mematuhi peraturan dan setakat ini belum ada sebarang saman dikeluarkan.

Dia berkata mengikut rekod sejak 2018 hingga 2020, sebanyak 299 kemalangan membabitkan penunggang basikal dan daripada jumlah itu, enam kes sahaja melibatkan basikal riadah.

“Di Selangor, banyak pekerja asing menaiki basikal sebagai medium pengangkutan dan kes kemalangan pun melibatkan kelompok ini. Namun, disebabkan aktiviti berbasikal riadah semakin popular, polis mengambil pendekatan untuk terus memberikan nasihat kepada penunggang basikal supaya sentiasa mematuhi peraturan.

“Memang tiada halangan untuk penunggang basikal berkayuh di jalan raya kecuali lebuh raya, namun bagi mengelakkan kecelakaan, mereka perlu sentiasa ingat serta berhati-hati kerana laluan itu digunakan oleh pelbagai jenis kenderaan umpamanya lori,” katanya.

-Bernama