Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas CEO: 1MDB ditubuhkan untuk beri manfaat pada Umno

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB | Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Mohd Hazem Abd Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa 1MDB ditubuhkan untuk memberi manfaat kepada Umno.

Saksi berumur 47 tahun yang memberi keterangan dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana MDB itu berkata beliau pasti tidak akan menyertai syarikat itu sekiranya beliau tahu ia terlibat dengan aktiviti haram kerana ia menyalahi undang-undang syarikat.

Beliau berkata perkara berhubung manfaat kepada Umno itu dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low.

"Saya dengar mengenainya daripada Jho Low sendiri semasa mesyuarat di Hotel Shangri-La Putrajaya, sebelum saya menyertai 1MDB sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) (pada 2012)," katanya semasa disoal balas oleh peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Mohd Hazem berkata ketua setiausaha sulit Najib, arwah Datuk Azlin Alias turut hadir semasa mesyuarat itu.

Semasa ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada beliau memeriksa keabsahan kenyataan Jho Low berhubung MDB dan Umno, Mohd Hazem berkata Azlin juga berada di situ dan mendengarnya (apa yang dikatakan Jho Low)

Muhammad Shafee: Saya tidak boleh panggil atau periksa Azlin, dia telah meninggal dunia (dalam nahas helikopter pada April 2015). Itu sebabnya saya tanya anda. Anda bersetuju dengan saya bahawa pada hari berkenaan, anda belum diserap sebagai COO. Ia lebih kurang berupa temuduga terhadap anda dalam mesyuarat itu.

Mohd Hazem: Ya.

Bagi satu lagi soalan, saksi pendakwa itu berkata beliau sedar bahawa 1MDB adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan.

Bagaimanapun berdasarkan kepada apa yang diberitahu oleh Jho Low kepadanya, beliau sedar bahawa syarikat itu mempunyai “kaitan politik” dari segi ia digunakan sebagai alat bagi mengumpulkan dana untuk Umno.

Katanya beliau pasti tidak akan tahu bahawa 1MDB ditubuhkan bagi manfaat Umno sekiranya ia tidak dimaklumkan oleh Jho Low.

"Saya mungkin akan dapat tahu kemudiannya menerusi rakan-rakan,” katanya.

Saksi itu seterusnya bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa secara umumnya, beliau dapat melihat wang keluar dari 1MDB.

Muhammad Shafee: Pasti tidak terlintas dalam fikiran anda, yang wang ini satu hari nanti akan didakwa dihantar kembali untuk manfaat Najib.

Mohd Hazem: Tidak.

Muhammad Shafee: Kenapa anda tidak jangka ini akan berlaku? Kerana skim ini nampak pelik?

Mohd Hazem: Betul, saya tidak jangka perkara ini.

Muhammad Shafee: Dan sekiranya skim ini dimaklumkan kepada anda, anda mungkin tidak akan terima pelantikan (dalam syarikat)?

Mohd Hazem: Ya.

Muhammad Shafee: Kenapa anda tidak akan terima pelantikan sekiranya anda tahu?

Mohd Hazem: Seperti yang anda katakan, ia nampak pelik, cara skim itu dilaksanakan.

Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama