Skip to main
Logo Malaysiakini

RUU gangguan seksual dibentangkan tahun ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rang Undang-undang (RUU) Gangguan Seksual yang dibangkitkan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun.

Tambah Rina, pandemik Covid-19 antara punca kelewatan pembentangan RUU tersebut.

“Tidak dapat dinafikan jadual penggubalan RUU ini sedikit terjejas berikutan dengan pandemik Covid-19 yang telah mengehadkan pelaksanaan libat urus draf RUU berkenaan.

“Dan oleh yang demikian, sasaran pembentangan RUU telah dibuat sedikit pengubahsuaian untuk ia dapat dibentangkan pada tahun 2021,” katanya dalam jawapan bukan lisan kepada anggota parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jelasnya, usaha penyelarasan dan sesi libat urus bersama kementerian dan agensi lain berhubung RUU itu masih berjalan.

“Tindakan ini amat penting untuk memastikan pelaksanaan undang-undang yang efektif, termasuklah berupaya mengisi kelompangan undang-undang, peraturan dan pekeliling sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, antara kelopongan undang-undang gangguan seksual kini, adalah jenayah mengambil gambar tanpa izin, peras ugut dengan gambar serta video peribadi, mengintip dan penyebaran maklumat peribadi tanpa kebenaran.

Pada persidangan ketiga Dewan Rakyat tahun lalu, Anggota Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto telah mempersoalkan komitmen kerajaan untuk membentangkan RUU terbabit.

Malah pada ketika itu, Rina tetap menegaskan bahawa RUU terbabit akan dibentangkan tahun ini.