Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon Umno dakwa Warisan menangi kerusi Kukusan dengan rasuah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rasuah antara sebab calon Warisan memenangi kerusi DUN Kukusan dengan hanya majoriti 10 undi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah tahun lalu, dakwa calon BN-Umno kawasan itu.

Chaya Sulaiman membuat dakwaan demikian dalam petisyen pilihan raya yang dikemukakan bagi mencabar kemenangan Rina Jainal dalam PRN Sabah pada 26 Sept tahun lalu.

Pemohon itu mendakwa usaha 'rasuah' tersebut berlaku ketika tempoh berkempen – pada 25 Sept 2020 - apabila ejen Rina didakwa memberi wang RM100 kepada dua pengundi.

Chaya juga mendakwa itu merupakan modus operandi responden (Rina) bagi mempengaruhi penerima supaya mengundinya.

Selain itu, Chaya juga mendakwa, usaha pemberian wang itu bertentangan dengan Seksyen 10 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan amalan rasuah mengikut seksyen 11 (1) (b) akta sama.

“Bahawa tindakan responden pertama (Rina) dan/atau ejennya seperti yang dijelaskan di bawah Perenggan 5.1 hingga 5.4 di atas menunjukkan bahawa rasuah umum berlaku secara meluas selama pilihan raya tersebut sehingga mereka dianggap wajar mempengaruhi hasil pilihan raya (ingat bahawa majoriti yang diperoleh oleh responden pertama hanya 10 orang).

"Akibatnya, hasil pilihan raya tersebut harus dinyatakan batal, sesuai dengan peruntukan Seksyen 32 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” dakwa Chaya dalam petisyen berkenaan.

Selain itu, dia juga mendakwa susulan rasuah dilakukan dengan pengetahuan atau persetujuan Rina, hasil pilihan raya harus dibatalkan menurut Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Chaya Sulaiman

Chaya turut mendakwa Rina berhasil memenangi kerusi itu dengan hanya majoriti 10 undi kerana ejennya meraih undi pada hari pengundian itu sendiri iaitu pada 26 Sept 2020.

Dia mendakwa hal itu dilakukan menerusi kenyataan dimuat naik ke akaun Facebooknya, yang dikatakan bertentangan Seksyen 26 (1) (f) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Chaya kemudian menyenaraikan nama dan no kad pengenalan sembilan penduduk Kukusan yang didakwa dipengaruhi untuk memilih Rina dalam PRN berkenaan.

Pada hari pengundian berkenaan, Rina mendapat 2,834 undi diikuti Chaya (2,824) undi.

Keliru tarikh PRN berbeza

Calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Wong Jin Soon, berada di tempat ketiga dengan 796 undi.

Sementara itu, Rina menerusi peguam - Raymond Guak dan dua peguam lain - mengemukakan permohonan untuk membatalkan petisyen tersebut.

Berdasarkan salinan permohonan bertarikh 16 Nov tahun lalu, antara sebab dia memohon pembatalan berkenaan, Chaya didakwa gagal membuktikan individu yang didakwa menerima wang terbabit benar-benar mengundi Rina.

Rina turut mendakwa petisyen tersebut gagal mengemukakan fakta bagaimana rasuah umum memberi kesan kepada keputusan PRN seperti termaktub dalam Seksyen 32 (a) Akta Pilihan Raya.

Dia turut mendakwa, petisyen itu gagal mengemukakan material berhubung dakwaan pendedahan amalan rasuah.

"Petisyen tersebut gagal mengemukakan fakta yang menunjukkan bagaimana pengadu mempengaruhi hasil pilihan raya, selain pernyataan umum yang tidak cukup tertulis mengatakan bahawa majoriti yang diperoleh oleh responden pertama hanya 10 suara," katanya.

Dia juga mendakwa, petisyen berkenaan harus dibatalkan kerana dakwaan gangguan masalah teknikal dalam pelantikan tujuh peguam Chaya untuk perkara itu.

Rina mendakwa gangguan teknikal muncul ketika notis pelantikan untuk tujuh peguam Chaya diajukan oleh Tetuan Azhier Arisin & Co, bukannya peguam bela pemohon secara peribadi.

Untuk rekod petisyen pilihan raya Chaya difailkan oleh Tetuan Azhier Arisin & Co di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Tawau 19 Okt tahun lalu.

Kata Rina hal itu bertentangan dengan Seksyen 9 dan 34 Akta Pilihan Raya 1954.

"Akibat dari pelantikan peguam bela oleh pemohon yang tidak sah, tidak ada petisyen pilihan raya yang sah diajukan oleh para peguam bela yang diperakui," katanya.

Rina juga berpendapat, petisyen itu harus dibatalkan kerana ia secara keliru menyatakan dua tarikh pengundian yang berbeza untuk PRN Sabah iaitu 22 Sept 2020 dan 26 Sept 2020.

[Baca berita asal]