Skip to main
Logo Malaysiakini

Cuepacs minta KKM perinci kes Covid-19 di setiap kawasan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpandangan sudah tiba masanya kementerian kesihatan Malaysia (KKM) memperincikan kes Covid-19 yang berlaku di setiap kawasan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ini bagi membolehkan masyarakat mengetahui kejadian kes mengikut taman atau kampung yang terlibat agar langkah pencegahan dapat dilakukan.

“Cuepacs juga berpandangan sudah tiba masanya KKM perlu menjelaskan dengan lebih terperinci kes berlaku di setiap lokaliti dengan memaklumkan kepada masyarakat kejadian kes mengikut taman atau kampung yang terlibat supaya semua pihak mengetahui kejadian di kawasan tersebut agar langkah pencegahan akan dapat dilakukan oleh masyarakat.

"Kerjasama antara masyarakat setempat dengan pihak berkuasa seperti pejabat kesihatan daerah, polis, Rela perlu digembeling bersama dalam memutuskan rantaian jangkitan di lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, dia juga berharap orang awam tidak menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan kegusaran serta menyukarkan tugas pihak berkuasa.

Setakat ini, KKM menolak untuk mengeluarkan data sedemikian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mempertahankan keputusan itu, yang katanya, untuk mengelakkan stigma.

Berbanding mendedahkan lokasi, katanya, adalah lebih baik untuk melakukan sanitasi kawasan berkenaan bagi memastikan ia selamat dan membolehkannya dibuka semula kepada orang awam.

Pelaksanaan PKP perlu diputuskan hati-hati

Sementara itu, Adnan berkata langkah untuk memperkenalkan perintah kawalan pergerakan (PKP) kembali juga harus diputuskan kerajaan dengan berhati-hati.

Kata Adnan lagi, pihaknya juga berpandangan untuk meredakan gelombang ketiga wabak Covid-19 ketika ini, beberapa langkah perlu dilakukan.

“Langkah melaksanakan PKP semula seperti Mac 2020 perlu diputuskan dengan berhati-hati memandangkan keseimbangan antara ekonomi negara dan kesihatan rakyat. Kerajaan difahamkan akan mengalami kerugian RM2 bilion sehari jika PKP diadakan semula.

“Cuepacs berpandangan untuk meredakan gelombang ketiga pandemic Covid-19 di Malaysia ini tindakan seperti memperketatkan semula larangan pergerakan di kawasan zon merah. Bagi kawasan zon hijau pemerkasaan kepada pembudayaan normal baharu, bagi zon kuning, jingga pelaksanaan PKPP yang lebih baik dan kawasan ini perlu dijaga untuk elakkan kawasan menjadi zon merah.

“Kerajaan juga perlu memperkasakan konsep bekerja daripada rumah (WFH) kepada semua sektor termasuk awam dan swasta.

“WFH terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan kerana dapat mengelakkan pertembungan atau interaksi orang ramai. Bagaimanapun Cuepacs melihat pihak majikan di sektor swasta termasuk awam masih tidak mengendahkan saranan kerajaan mengenai pelaksanaan WFH,” jelasnya lagi sambil menambah pihak majikan dan pekerja perlu bekerjasama untuk mengekang penularan kes Covid-19.

Kes Covid-19 di Malaysia semalam telah melepasi angka lebih 3,000 buat pertama kalinya.

Menurut unjuran KKM, Malaysia akan merekodkan peningkatan kes sehingga 8,000 sehari pada akhir Mei, jika kadar jangkitan (R-naught atau kebolehjangkitan) terus berada pada tahap 1.1.