Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP: SOP lebih terperinci diumum esok, kata Ismail

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP) akan diumumkan esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri menerusi kenyataan media perkembangan PKP dan PKP Pemulihan hari ini berkata, perkara tersebut bakal diumumkan dalam sidang media hariannya pada lima petang esok.

“Pada masa sama, kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta Kementerian Kerja Raya juga, akan mengumumkan SOP yang berkaitan mengikut kementerian masing-masing,” katanya.

Sementara itu, tidak memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi ingkar arahan PKP yang direkodkan semalam, dengan 173 individu ditahan atas kesalahan itu.

Dia berkata secara keseluruhan, 572 individu ditahan semalam termasuk seorang direman dan daripada jumlah itu 157 atas kesalahan aktiviti pusat hiburan, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (115), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (115) dan lain-lain (12).

Ismail Sabri memaklumkan pihak berkuasa turut menahan 16 pendatang tanpa izin, serta merampas tiga kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.

Sementara itu, sejak 24 Julai 2020 hingga semalam seramai 102,642 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa, dengan 8,375 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKP Diperketatkan (PKPD) beberapa kawasan iaitu, Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu di Kelantan dan Kampung Paginatan dan Kampung Maringkan, Ranau di Sabah pada hari ini, seperti yang dijadualkan.

Penamatan ini dibuat atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, bagi PKPD di Pusat Koreksional Kamunting (Kemta), beserta kuarters kakitangan di Taiping, Perak ditamatkan pada 12 Jan seperti dijadualkan.

Bagaimanapun, ini tidak termasuk blok penempatan OKT di Pusat Transit Penerimaan (PTP), melibatkan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC), yang mana PKPD di blok-blok penempatan ini dilanjutkan sehingga 26 Jan.

-Bernama